WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIADA RUANG UNTUK SELESA, CHEONG MIN GIAT PERKUKUH RUTIN PERSEMBAHAN

03/02/2025 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Ratu wusyu negara Tan Cheong Min kini giat meningkatkan tahap kesukaran serta kombinasi rutin demi memastikan dominasinya di pentas antarabangsa terus berkekalan.

Juara dunia dua kali itu enggan berpuas hati dengan pencapaiannya sebelum ini kerana perubahan kecil dalam peraturan sukan wusyu yang hampir pasti dilaksanakan tahun ini, mendorong Cheong Min untuk lebih menekankan aspek kesukaran dan kematangan dalam persembahan.

"Peraturan baharu tahun ini mungkin melibatkan sedikit perubahan dalam aspek kesukaran dan kombinasi. Jadi saya sedang memberi fokus sepenuhnya kepada aspek itu.

"Sebenarnya, tahap kesukaran yang saya lakukan sebelum ini masih memadai tetapi memandangkan terdapat sedikit perubahan dalam kombinasi, saya kini melakukan beberapa penyesuaian dalam rutin," katanya kepada Bernama.

Olahragawati Kebangsaan 2019/2020 berusia 26 tahun itu berkata kestabilan adalah kunci utama dalam rutin baharunya bagi memastikan setiap pergerakan dapat dilakukan dengan ketepatan.

“Perubahan ini bukan masalah besar bagi saya kerana pernah berlatih dengan kombinasi baharu sebelum ini, cuma belum memasukkannya dalam rutin pertandingan. Jadi saya perlu memastikan kestabilan rutin ini berada pada tahap 100 peratus," katanya.

Cheong Min yang merangkul pingat emas acara Nangun pada Piala Dunia Taolu 2024 di Yokohama, Jepun pada Oktober lepas berkata terdapat sedikit perubahan dalam gaya pendaratan iaitu atlet kini boleh menggabungkan dua elemen kesukaran serentak.

"Gaya pendaratan tidak banyak berubah tetapi ada sedikit tambahan pada tekniknya. Kami dibenarkan untuk menggabungkan dua elemen kesukaran, jadi ini merupakan perubahan yang perlu saya sesuaikan," katanya.

Antara pertandingan hampir pasti disertai Cheong Min tahun ini ialah kejohanan Piala Asia Taolu di Jilin, China pada Julai dan World Games di Chengdu, China pada Ogos kerana telah berjaya melayakkan diri.

Bagi Kejohanan Wusyu Dunia dijadualkan berlangsung di Brazil pada September dan temasya Sukan SEA di Thailand pada Disember, ia tertakluk kepada proses pemilihan yang akan dijalankan nanti.

Sebagai rekod, Cheong Min merangkul gelaran juara dunia 2017 di Kazan, Rusia dalam acara Duilian sebelum menikmati gelaran keduanya pada 2019 di Shanghai, China dalam acara Nandao.

Beliau terus menambah koleksi pencapaian di pentas antarabangsa antaranya kejayaan menyambar dua pingat emas di Sukan SEA 2023 di Kemboja, pingat perak pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan pingat emas Kejohanan Wusyu Asia 2024 di Macau, September lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan