WILAYAH - TIMUR > BERITA

OP SELAMAT 23 CATAT PENURUNAN KADAR KEMALANGAN DI TERENGGANU

03/02/2025 03:58 PM

KUALA BERANG, 3 Feb (Bernama) -- Op Selamat 23 yang dijalankan di Terengganu sempena Tahun Baru Cina bermula 28 Jan hingga 2 Feb, mencatatkan penurunan kadar kemalangan jalan raya berbanding Op Selamat 21.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata sebanyak 170 kes kemalangan direkodkan pada Op Selamat 23 di negeri ini berbanding 205 kes dalam operasi yang sama pada tahun lepas.

Beliau berkata selain itu jumlah saman yang dikeluarkan juga mencatatkan penurunan yang signifikan iaitu sebanyak 7,739 saman pada Op Selamat 23 berbanding 13,405 pada Op Selamat 21.

“Kes melibatkan kemalangan maut juga menurun daripada tiga orang pada Op Selamat 21 kepada seorang pada Op Selamat 23.

“Sebanyak 54 operasi telah dijalankan oleh anggota dan pegawai dalam tempoh tujuh hari pelaksaan Op Selamat 23,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.

Supt Sharudin Abdul Wahab dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu yang baharu menggantikan DSP Zainul Mujahidin Mat Yudin yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Mohd Khairi berkata kira-kira 40 peratus daripada 3,900 termasuk anggota dan pegawai polis di Terengganu, dikenal pasti mempunyai indeks jisim badan (BMI) melebihi 28.

Sehubungan itu pihaknya merangka pelbagai program termasuk sukan dan rekreasi bagi memastikan warganya dapat mencapai kadar BMI ditetapkan, dalam usaha mendapat kenaikan pangkat.

“Program kayuhan basikal dan mendaki bukit antara program utama dalam usaha memastikan pegawai dan anggota mencapai berat badan yang ideal. Namun ia bukan untuk tujuan kenaikan pangkat semata, sebaliknya polis perlu berada dalam keadaan sihat dan fizikal yang mantap untuk menjalankan tugas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan