GEORGE TOWN, 4 Feb (Bernama) -- Penggunaan air di Pulau Pinang mencatatkan penurunan purata sekitar 0.6 peratus atau lima juta liter sehari (JLH) pada tahun lepas berbanding 2023, dengan jumlah pengurangan melebihi 1.8 juta meter padu (m³) dalam tempoh setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan berkata jumlah pengguna air berdaftar yang menerima perkhidmatan PBAPP meningkat sebanyak 15,742, iaitu daripada 689,786 pengguna pada 2023 kepada 705,528 pengguna pada tahun lepas.
"Penggunaan domestik di Pulau Pinang merujuk kepada penggunaan oleh isi rumah dengan meter individu dan penggunaan air menurun kira-kira 6.4 peratus daripada 503 JLH pada 2023 kepada 471 JLH pada 2024.
"Penggunaan air bukan domestik dan lain-lain pula meningkat sekitar 7.2 peratus, daripada 374 JLH pada 2023 kepada 401 JLH pada tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan data PBAPP juga menunjukkan terdapat peningkatan dalam bilangan pengguna dalam setiap kategori penggunaan iaitu pengguna air domestik meningkat kepada 604,976 pengguna domestik pada lepas berbanding 593,255 pada 2023.
Pathamanathan berkata pengguna air bukan domestik meningkat sebanyak 2,246 pengguna iaitu daripada 94,198 pengguna bukan domestik pada 2023 kepada 96,444 pengguna bukan domestik pada tahun lepas.
Katanya bilangan pengguna domestik pukal, agama dan kebajikan serta pengguna perkapalan turut meningkat 1,775 pengguna, daripada 2,333 pengguna pada 2023 kepada 4,108 pengguna pada 2024.
Menurut beliau, data menunjukkan bahawa penggunaan air domestik masih menyumbang sekitar 54 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan air. Ini menunjukkan isi rumah di Pulau Pinang terus menggunakan lebih banyak air berbanding gabungan semua premis perniagaan, komersial dan kerajaan.
"Lebih ramai pengguna domestik mengurangkan penggunaan air pada 2024 berbanding 2023, walaupun penduduk Pulau Pinang dan bilangan pengguna domestik meningkat tahun ke tahun.
"Penurunan ini berkemungkinan disebabkan oleh semakan kadar tarif domestik yang berkuat kuasa pada 2 Jan tahun lepas, peningkatan kesedaran mengenai tekanan sumber air di Pulau Pinang, serta keberkesanan kempen penjimatan air domestik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial