WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NSFC AKAN LAKUKAN PENSTRUKTURAN GAJI PASUKAN MUSIM DEPAN     

04/02/2025 11:30 PM

 

SEREMBAN, 4 Feb (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) akan melakukan penstrukturan gaji pasukan dengan menetapkan garis panduan atau kriteria tertentu mengenai kadar bayaran kepada pemain serta kejurulatihan pada musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) merangkap Pengerusi NSFC Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata pihaknya sedang menjalani fasa peralihan bagi membina semula struktur kelab merangkumi penstrukturan gaji pemain, pengenalan falsafah bola sepak, pelan perniagaan baharu, pembaharuan infrastruktur, pemerkasaan pembangunan belia serta pengukuhan hubungan antara pemegang taruh.

“Isu gaji ini adalah isu tahunan, kami berfikiran bahawa semampunya dengan bajet yang diberikan, gaji ini tidak boleh terlalu tinggi, sebab itu ia menjadi satu masalah musim ini.

“… kita lihat pasukan tidak terlalu mantap, tidak mempunyai pemain penyerang tetapi gaji diberikan agak tinggi, kita tidak mampu dan pasukan pula agak lemah. Kami sedang melakukan penambahbaikan bagi musim akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Kongres Tahunan PBNS Kali ke-90 di sini hari ini.

Tunku Syed Razman ketika mengulas mengenai prestasi skuad bimbingan Ketua Jurulatih K. Nanthakumar yang kini menghuni tangga ke-12 dengan sembilan mata, berkata beliau berharap pasukan akan meningkatkan mutu perlawanan dan mencipta kemenangan dalam baki tujuh perlawanan, dengan sekurang-kurangnya berada di tangga kesembilan liga.

Dalam pada itu, beliau yang mengulas khabar angin mengenai beberapa pasukan Liga Super berhasrat tidak meneruskan saingan pada musim depan berkata NSFC optimis akan meneruskan saingan liga dan pihak pengurusan kini fokus membuat penambahbaikan.

“Kalau tarik diri, kuranglah penyertaan dalam saingan liga. Mungkin perkara itu hanya khabar angin, saya sendiri tidak berapa tahu tentang perkara itu… (jika disebabkan) faktor kewangan memang, ia adalah isu utama. Banyak pasukan bermasalah dengan pembayaran gaji, hutang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), masalah ini timbul setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata kadar bayaran gaji pemain import, pemain kebangsaan pada musim depan sedang dinilai dan dibincangkan bersama pihak tertinggi pasukan.

“Apa yang dilaksanakan pada musim ini adalah kita melakukan pengurangan hampir 47 peratus berikutan bebanan kewangan. Apabila kita dapat stabilkan kelab dari segi gaji, terdapat kriteria ditetapkan pada jumlah gaji tertentu pemain musim depan.

“Contohnya, pemain import dan pemain kebangsaan ada tangga gajinya… tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan sebarang angka, kita mahu perbaiki prestasi pasukan tanpa memberikan kesan kepada struktur gaji. Apabila saya melakukan pengurangan 47 peratus gaji pada musim semasa, saya tidak kata tiada kenaikan, akan ada kenaikan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata kadar baharu itu bergantung kepada kontrak dan prestasi pemain selain mengambil pandangan pengarah teknikal pasukan dalam menetapkan gaji pemain.

Dalam pada itu, Muhammad Faliq berkata sasaran pasukan pada tahun depan adalah mempunyai beberapa pemain bertaraf kebangsaan dan perbincangan sedang dilakukan.

“Akan berlaku perubahan dalam pasukan dengan mengambil kira polisi pemain import, setakat hari ini kita  menandatangani lima pemain bawah 20 tahun, dua pemain bawah 23 tahun dan beberapa pemain akan dikekalkan, selebihnya adalah pemain senior untuk mengimbangi pasukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan