SERDANG, 5 Feb (Bernama) -- Polis hari ini bertindak memotong bekalan elektrik melibatkan 10 premis termasuk sebuah rumah kedai yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di sekitar Puchong dan Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pemotongan elektrik itu dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Seksyen 21A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, polis percaya premis-premis ini merupakan satu sindiket yang sama namun didaftarkan atas nama individu-individu berbeza.
“Hasil pemantauan TNB pula mendapati wujudnya pemasangan elektrik secara haram yang dibuat oleh premis-premis berkenaan,” katanya pada sidang media Ops Pemotong Bekalan Elektrik di Taman Kinrara di sini hari ini.
Anbalagan berkata sindiket premis judi dalam talian itu masih berdegil apabila terus beroperasi meskipun sudah diserbu oleh pihak polis.
Sementara itu, beliau berkata polis menahan 29 individu termasuk sembilan warga asing menerusi Ops Dadu di 19 premis perjudian dalam talian sejak Julai sehingga 19 Jan lepas.
“Turut dirampas sepanjang operasi berkenaan adalah 107 tablet, tujuh telefon bimbit dan wang tunai RM4,500,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial