KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) – Malaysia telah menunjukkan kepimpinan proaktif dan visi strategik sejak memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas, sekali gus meletakkan asas kukuh bagi kerjasama serantau dan pertumbuhan mampan, kata Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin.
Menolak kritikan awal, beliau berpendapat masih terlalu awal untuk menilai kejayaan Malaysia kerana dakwaan tersebut mengabaikan langkah penting yang telah diambil dalam menentukan hala tuju ASEAN pada 2025.
“Memandangkan tempoh yang baru melebihi sebulan, masih terlalu awal untuk menilai secara muktamad prestasi Malaysia. Mempengerusikan ASEAN adalah usaha selama setahun tahun, dan aktiviti awal sering berfungsi sebagai langkah asas bagi inisiatif yang lebih substantif pada bulan-bulan mendatang.
“Malaysia telah menunjukkan kepimpinan proaktif dengan menganjurkan Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi pada 19 Jan.
“Mesyuarat ini menyediakan platform penting bagi dialog terbuka mengenai isu-isu serantau yang mendesak, termasuk krisis di Myanmar, pertikaian di Laut China Selatan dan jenayah rentas sempadan seperti penipuan siber dan pemerdagangan manusia. Penglibatan awal seperti ini menyerlahkan komitmen Malaysia dalam menangani cabaran kompleks melalui diplomasi dan kerjasama,” katanya dalam kenyataan.
Merujuk kepada artikel oleh Bridget Welsh yang disiarkan dalam portal The Jakarta Post, Tan berkata penilaian yang lebih seimbang perlu mengambil kira keseluruhan tempoh kepengerusian Malaysia serta hasil nyata daripada inisiatifnya.
“Walaupun penting untuk menilai secara kritis peranan kepimpinan, menyatakan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia mengecewakan pada peringkat ini mengetepikan langkah asas yang telah diambil serta pelan menyeluruh yang telah dirangka sepanjang tahun ini.
“Dengan tumpuan strategik kepada pertumbuhan ekonomi, keselamatan serantau, kemampanan dan transformasi digital, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memberi impak bermakna sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Tan berkata Malaysia telah mengambil langkah konkrit untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menangani isu mendesak.
“Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam memperkukuh hubungan ekonomi dalam ASEAN. Perjanjian bersejarah dengan Singapura untuk mewujudkan zon ekonomi khas di Johor dijangka menarik pelaburan global, memudahkan perdagangan rentas sempadan dan mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun. Inisiatif ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap integrasi ekonomi serantau dan kemudahan perdagangan,” katanya.
Tan berkata Malaysia telah menggariskan visi yang jelas bagi kepengerusiannya di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang menekankan dedikasi negara terhadap usaha membina ASEAN yang bersatu dan makmur dengan fokus kepada pembangunan seimbang, pemeliharaan alam sekitar serta transformasi digital.
“Agenda berpandangan jauh seperti ini menunjukkan pendekatan strategik Malaysia dalam kepimpinan serantau,” katanya.
Mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Tan berkata dengan pengalaman luas Thaksin dalam politik serantau dan diplomasi ekonomi, “pelantikan strategik” itu dijangka memberikan pandangan yang berharga, sekali gus meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menangani cabaran ASEAN yang pelbagai secara berkesan.
“Walaupun pelantikan beliau telah mencetuskan beberapa perdebatan, sumbangannya terhadap kerjasama ekonomi ASEAN dan inisiatif keamanan tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” tambahnya.
Mengenai konflik di Myanmar, Tan berkata Malaysia telah berinteraksi dengan pemegang taruh utama di luar junta, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) serta pertubuhan etnik bersenjata, dengan mengiktiraf keperluan untuk dialog yang lebih inklusif bagi menangani krisis kemanusiaan dan ketidakstabilan politik di negara itu.
Tan berkata di bawah kepengerusiannya, Malaysia turut memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh rangka kerja keselamatan siber serta meningkatkan kerjasama serantau dalam menangani ancaman digital.
“Dengan menyelaraskan dasar digital, Malaysia berhasrat meletakkan ASEAN sebagai ekonomi digital yang bersatu, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam kalangan negara anggota. Malaysia juga telah memulakan perbincangan mengenai tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan peraturan teknologi kewangan (fintech) bagi memperkukuh daya saing ASEAN dalam era digital,” katanya.
Tan berkata Malaysia juga telah menggesa usaha bersepadu ASEAN bagi menangani pemerdagangan manusia, penipuan dalam talian dan aktiviti kewangan haram - khususnya di Myanmar, Kemboja dan Laos.
“Menyedari kesan yang semakin meningkat daripada jenayah ini terhadap keselamatan dan sektor pelancongan serantau, Malaysia telah mengusulkan mekanisme penguatkuasaan yang lebih ketat serta kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial