WILAYAH - SARAWAK > BERITA

3 MAUT, 4 HILANG SELEPAS BOT LAJU TERBALIK DI KALIMANTAN UTARA

10/02/2025 10:50 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 10 Feb (Bernama) -- Sebuah bot laju yang membawa 30 penumpang terbalik di Bulungan, Kalimantan Utara pada Isnin, mengorbankan tiga orang dan menyebabkan empat yang lain hilang, kata pihak berkuasa tempatan.

Kejadian berlaku di Sungai Temangga kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan selepas bot itu dilaporkan melanggar kayu hanyut besar sebelum tenggelam.

Ketua Polis Kalimantan Utara Inspektor Jeneral Hary Sudwijanto berkata operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan semua sumber yang ada dikerahkan bagi mengesan serta menyelamatkan penumpang yang hilang.

“Kami memaksimumkan usaha pencarian di sepanjang Sungai Kayan. Pasukan gabungan telah dihantar ke beberapa lokasi strategik untuk mempercepatkan proses ini. Keutamaan kami adalah menyelamatkan mangsa yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Pejabat Mencari dan Menyelamat Tarakan, bot laju itu berlepas dari Pulau Tias di Tanjung Palas Tengah menuju ke Tanjung Selor selepas penumpang menghadiri majlis perkahwinan.

Mangsa yang terselamat, termasuk mereka yang memerlukan rawatan perubatan, telah dibawa ke hospital di Tanjung Selor selepas diselamatkan oleh sebuah bot laju berhampiran serta pasukan penyelamat, kata Ketua Operasi agensi itu, Didik Hariana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan