KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Bahagian penerbangan Capital A Bhd, AirAsia Aviation Group (AirAsia) telah membawa 63.18 juta penumpang pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 dengan faktor beban sebanyak 89 peratus, dipacu oleh permintaan yang mantap dan pertumbuhan kapasiti yang strategik.
Ini berbanding 56.99 juta penumpang yang dibawa oleh syarikat penerbangan tambang rendah itu semasa tahun kewangan 2023.
Capital A berkata kumpulan itu juga membawa 16.27 juta penumpang pada suku keempat 2024 daripada 14.88 juta yang dicatatkan dalam suku ketiga 2023, mencerminkan kenaikan sembilan peratus dari tahun ke tahun selain berjaya mengekalkan faktor beban 88 peratus yang mantap. “Selepas bangkit dari cabaran Covid-19, kumpulan itu telah memulihkan 84 peratus tahap kapasiti sebelum pandemik,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengembangan armada kumpulan itu turut menyumbang kepada kejayaannya pada 2024 dengan armada aktifnya kini meningkat kepada 205 pesawat daripada 224 pesawat sedia ada, dengan pengaktifan semula 14 pesawat sepanjang tahun tersebut. “Kumpulan itu telah mengaktifkan 10 pesawat merangkumi sembilan A321NEO terbaharu serta satu A320 terpakai sepanjang tahun berkenaan sambil mengembalikan dua pesawat ke peminjam, seterusnya, melonjakkan kecekapan operasi dan keupayaan bagi menyokong permintaan yang semakin melonjak di seluruh rangkaian,” kata kenyataan itu.
Mengenai Asia Digital Engineering (ADE), ia telah menyelesaikan 22 pemeriksaan penyelenggaraan asas, kenaikan 10 peratus dari tahun ke tahun, membawa jumlah pemeriksaan untuk tahun ini kepada 63. Pemeriksaan penyelenggaraan baris menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan, melampaui 3,000 pemeriksaan bagi suku tersebut atau mewakili lapan peratus peningkatan dari tahun ke tahun. Ini menyumbang kepada jumlah penuh tahun melangkaui 12,700 pemeriksaan, naik 17 peratus dari tahun ke tahun.
“Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam aktiviti penerbangan selain disokong oleh pengembangan ADE ke pasaran baharu di Kemboja, Filipina dan Indonesia sepanjang tahun berkenaan,” katanya lagi.
Untuk Teleport, jumlah kargo yang dibawa telah mencapai 295,926 tan pada tahun kewangan 2024 dan 85,950 tan menjelang suku keempat 2024. Segmen e-dagang meneruskan pertumbuhan yang mengagumkan, menyampaikan 79.9 juta bungkusan pada tahun kewangan 2024, bertambah 92 peratus berbanding 2023. Sejumlah 22.7 juta bungkusan telah dihantar pada suku keempat, dengan jumlah bungkusan harian mencecah purata 247,000, mencerminkan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 44 peratus.
Sementara itu, bahagian perniagaan katering AisAsia, Santan berjaya berkembang ke pasaran siap sedia untuk dimakan dan telah menyampaikan 19.7 juta hidangan pada tahun kewangan 2024, didorong oleh perkongsian pihak ketiga yang strategik serta menu yang lebih berpatutan.
Manakala, bahagian fintech AirAsia, Bigpay turut menyaksikan pertumbuhan pengguna dengan asas penggunaan kadnya berkembang melebihi 1.6 juta, yang didorong oleh Bigpay Lite termasuk peningkatan dalam perkhidmatan pengiriman wang, yang kini membolehkan pemindahan e-dompet secara langsung di pelbagai negara, menyediakan pengguna dengan lebih banyak opsyen titik akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial