KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) memperkenalkan Interactive Virtual Tourism (IVT), platform inovatif perintis yang mengubah cara ejen pelancongan dan pelanggan berinteraksi dalam masa nyata.
MATA dalam kenyataan hari ini memaklumkan IVT ialah platform konsultasi maya yang selamat dan direka khas untuk meningkatkan kepercayaan, memperkukuhkan keterlibatan pelanggan serta menghapuskan penipuan dalam transaksi pelancongan.
“IVT membolehkan interaksi langsung secara bersemuka antara pelancong dan profesional pelancongan yang disahkan, justeru memastikan pengalaman tempahan yang selamat dan boleh dipercayai.
“Dengan peningkatan kes penipuan pelancongan, IVT menyediakan penyelesaian selamat dengan membolehkan pengguna mengesahkan ejen sebelum membuat sebarang komitmen,” menurut kenyataan itu.
Platform itu juga dijangka mengubah landskap pelancongan Malaysia dengan menawarkan cara yang lebih lancar dan selamat bagi orang ramai merancang percutian mereka serta membantu agensi pelancongan membina hubungan pelanggan yang lebih kukuh.
Presiden MATA Datuk Dr Mohd Khalid Harun dalam kenyataan sama berkata IVT bukan sekadar platform, tetapi penyelesaian kepada satu daripada cabaran terbesar dalam industri pelancongan iaitu kepercayaan.
“Dengan membolehkan komunikasi langsung antara pelancong dan ejen, kami menjadikan tempahan pelancongan lebih selamat dan telus berbanding sebelum ini,” katanya.
Menurut MATA agensi, pengendali dan pihak berkuasa pelancongan boleh memanfaatkan platform itu untuk menarik lebih ramai pelancong dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.
“Perniagaan dan profesional dalam industri pelancongan dijemput menyertai era baharu pelancongan ini.
“Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai IVT dan manfaatnya kepada perniagaan anda, layari www.mata.travel atau email kepada info@mata.travel,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial