WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LPQB PERLU DIPERKUKUH UNTUK JAMIN PENDIDIKAN UNDANG-UNDANG BERKUALITI - AZALINA

12/02/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) perlu diperkukuh bagi memastikan pendidikan berkualiti dan perkhidmatan yang unggul dapat diberikan kepada pelajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata terdapat beberapa isu berbangkit berkaitan elemen ketelusan dan piawaian di bawah LPQB yang perlu ditangani, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memulakan pembaharuan transformasi dalam sistem perundangan negara.

"LPQB adalah badan yang menentukan masa depan mahasiswa undang-undang yang bercita-cita untuk menjadi peguam bela dan peguam cara," katanya ketika merasmikan 'Sesi Dialog: Masa Depan Pendidikan Undang-Undang di Malaysia' di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.

Azalina berkata beliau berharap dialog hari ini dapat menjadi pemangkin dalam membantu kerajaan merangka strategi baharu yang dapat mencipta lebih banyak penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kualiti pendidikan undang-undang di negara ini.

"Saya sangat yakin melalui sinergi antara ahli akademik, pengamal undang-undang, pihak berkepentingan dan wakil-wakil Kerajaan Malaysia, kita berupaya untuk membentuk konsep baharu pendidikan undang-undang untuk Malaysia dan generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan