WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAIWP PERUNTUK RM230.63 JUTA PERKASA MODAL INSAN TAHUN INI

12/02/2025 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan dana zakat berjumlah RM230.63 juta untuk memperkasakan modal insan, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata daripada jumlah itu RM131 juta diperuntukkan untuk skim bantuan pendidikan, RM17 juta bagi program pembangunan pendidikan dan RM49 juta untuk membiayai institusi pendidikan MAIWP.

“MAIWP sebagai sebuah agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa komited membantu para asnaf khususnya Wilayah Persekutuan untuk mendaki tangga kejayaan dalam bidang ilmuan.

“Saya sentiasa memberikan arahan kepada pengurusan tertinggi MAIWP, agar sentiasa proaktif memberi sokongan kepada para asnaf untuk berjaya dalam pendidikan agar mereka boleh bangkit membantu keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Biasiswa MAIWP  & Insentif Khas kepada pelajar Asnaf di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Menara MAIWP di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata selain bantuan biasiswa, MAIWP juga turut menyediakan pelbagai inisiatif di bawah kluster pendidikan bagi membantu para pelajar di Wilayah Persekutuan.

Pada majlis itu, seramai 679 mahasiswa dan pelajar menerima Biasiswa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) & Insentif Khas, melibatkan dana zakat berjumlah RM5.8 juta.

Penerima hari ini terdiri daripada 80 mahasiswa Institut Pengajian Tinggi yang menuntut di dalam dan luar negara melibatkan zakat berjumlah RM3,085,080 dan bantuan kepada 259 pelajar sekolah menengah melibatkan zakat berjumlah RM2,460,500.

Seramai 200 pelajar asnaf yang bersekolah di  SBP menerima bantuan melibatkan dana zakat berjumlah RM200,000 dan 140 pelajar asnaf di MRSM turut menerima bantuan dana zakat berjumlah RM140,000 di bawah Insentif Khas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan