WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BUNYI LETUPAN, KEPULAN ASAP BONGKAR AKTIVITI PERLOMBONGAN BITCOIN HARAM

12/02/2025 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Bunyi letupan dan asap yang keluar dari sebuah rumah di Lorong Cekara Purnama, Bandar Puncak Alam, dekat sini, membongkar kegiatan pemasangan mesin bitcoin secara salah di sebuah bilik di kediaman itu semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyedari kejadian itu di rumah jirannya pada 11.41 pagi.

Beliau berkata sebanyak 14 anggota daripada pasukan sukarelawan bomba Saujana Utama dan Bestari Jaya bersama dua jentera bomba dan sebuah kereta jenis Toyota Hilux dihantar ke lokasi dan kebakaran berjaya dipadamkan.

“Pihak bomba dan pasukan peronda polis yang hadir terpaksa memecah masuk rumah tersebut kerana tidak berpenghuni dan kebakaran berlaku di dalam sebuah bilik yang terdapat pendawaian diubah suai mengakibatkan litar pintas dan kebakaran.

“Susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor telah ke lokasi pada 4.45 petang dan hasil pemeriksaan mendapati kediaman terbabit membuat penyambungan elektrik secara haram bagi tujuan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata polis menjumpai sembilan mesin perlombongan bitcoin, sembilan kipas blower dan sebuah penghala (router) berjenama d-link. 

“Kami telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan melakukan penyambungan elektrik secara haram.

“Saya tegaskan bahawa kegiatan perlombongan bitcoin haram bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga memberi kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan masyarakat,” katanya dan menambah penyambungan elektrik secara tidak sah boleh membawa risiko kebakaran.

Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Mohamad Nurizwan Hafiz Abd Halim menerusi talian 017-2494940,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan