WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERCEPAT PEMBINAAN KERETA API TRANS-BORNEO

17/02/2025 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Cadangan pembinaan Kereta Api Trans-Borneo yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia, perlu disegerakan bagi memastikan integrasi ekonomi yang lebih kukuh, terutamanya dengan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berkata jika direalisasikan, rangkaian infrastruktur berkenaan akan meluaskan pasaran dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat serta menjadikan Borneo sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing.

“Pembangunan infrastuktur berkapasiti besar seperti lebuh raya amat penting untuk mengintegrasikan wilayah ekonomi di Borneo, saya menghargai usaha kerajaan dalam menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak serta komitmen membina lapangan terbang antarabangsa baharu.

“Bagi memaksimumkan keupayaan infrastruktur ini, saya mencadangkan kerjasama erat dengan Brunei dan Indonesia dalam membangunkan rangkaian pengangkutan darat yang menghubungkan seluruh Borneo termasuk lebuh raya dan sistem rel,” katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa sejumlah RM7 juta diperuntukkan bagi membiayai kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan Kereta Api Trans-Borneo.

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya berkata kos berkenaan dibiayai sepenuhnya olehKerajaan Persekutuan dan kajian kebolehlaksanaan itu telah diluluskan untuk dilaksanakan menerusi  Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Rodiyah turut mencadangkan agar kerajaan memperhalusi Dasar Pandang ke Borneo bukan sahaja untuk kepentingan Sabah dan Sarawak tetapi juga bagi kemajuan Malaysia secara keseluruhan.

Beliau berkata keseluruhan populasi di Kepulauan Borneo mencecah 23 juta orang, setara dengan populasi di Semenanjung Malaysia yang memberikan kelebihan ekonomi yang signifikan, khususnya kepada Sarawak yang kaya dengan sumber alam.

Sementara itu, Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) meminta Kerajaan Persekutuan memperkukuh sempadan wilayah laut Malaysia di Sabah susulan tuntutan perluasan wilayah pelantar benua dasar laut oleh Filipina kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 15 Jun 2024.

“Melalui pemfailan itu, Filipina secara jelas tidak menghiraukan sempadan Malaysia dan memasukkan Sabah dalam unjuran garis dasar laut tersebut.

“Saya minta kerajaan Malaysia lebih bersikap tegas, dirikan tugu di mana sempadan kita di lautan itu supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan persempadanan wilayah kedaulatan kita,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan