WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TINDAKAN TEGAS AKAN DIKENAKAN TERHADAP STESEN TELEVISYEN LANGGAR GARIS PANDUAN - FAHMI

18/02/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen televisyen yang melanggar sebarang garis panduan ditetapkan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ini kerana keingkaran mematuhi garis panduan dan syarat-syarat lesen ditetapkan boleh mendatangkan kesan kepada pihak yang terlibat.

"Saya memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan OCBC Premier Private Client Centre di Bangsar di sini hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian sebagai mengulas isu penonton lelaki dilihat berpakaian seumpama wanita sewaktu menghadiri Anugerah Juara Lagu ke-39 yang disiarkan secara langsung Ahad lepas.

Fahmi berkata beliau kecewa dengan perkara tersebut kerana pihak stesen televisyen berkenaan sudah sedia maklum mengenai semua garis panduan yang terpakai.

"Seharusnya pihak Media Prima lebih bertanggungjawab. Saya amat kecewa dengan mereka yang menguruskan AJL (Anugerah Juara Lagu). Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Mereka tahu, dan mereka membenarkannya, ini tidak baik,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan pihaknya akan segera mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata JAKIM akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan