WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JAWI PANGGIL INDIVIDU BERPAKAIAN MENYERUPAI WANITA DALAM ACARA HIBURAN - MOHD NA’IM

20/02/2025 09:40 PM

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan memanggil semua individu yang berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara hiburan pada 16 Feb lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata beliau mendapat maklumat mengenai perkembangan itu hasil daripada pertemuan dengan Ketua Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan pagi tadi.

“Semua individu terlibat telah dikenal pasti dan dihubungi oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI.

“Ini kerana tindakan mereka jelas melanggar Seksyen 28 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan iaitu kesalahan lelaki berpakaian seperti wanita,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Said Sabri di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata langkah seterusnya akan disusuli dengan sesi perbincangan secara tertutup antara Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan semua individu terlibat bagi memberikan nasihat serta penerangan berkaitan kesalahan yang telah dilakukan.

“Dengan harapan semoga dengan inisiatif ini, mereka akan ambil iktibar dan tidak mengulangi kesalahan sama. Kita harap aspek penguatkuasan dan kaedah nasihat yang kita buat ini dapat sampaikan mesej bahawa kita tidak berdiam diri,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen televisyen yang melanggar sebarang garis panduan ditetapkan dan keingkaran tersebut boleh mendatangkan kesan kepada pihak terlibat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan