WILAYAH - TENGAH > BERITA

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 19 FEB

19/02/2025 02:55 PM

KBS AKAN PERKENAL ‘BOOTCAMP’, BERI PENDEDAHAN KEPADA PASUKAN, ATLET E-SUKAN

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan ‘bootcamp’ e-sukan bagi memberi pendedahan kepada pasukan atau atlet untuk ke kejohanan kompetitif. 

Menterinya Hannah Yeoh pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berkata bootcamp itu merangkumi latihan intensif, sesi simulasi perlawanan, analisis permainan dan bimbingan jurulatih profesional untuk mempersiapkan pemain dari segi mental dan strategi permainan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang ingin tahu status peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2025 bagi pemerkasaan e-sukan dan sama ada KBS telah mengenal pasti lokasi pembinaan stadium e-sukan baharu di seluruh negara. 

Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya dalam fasa akhir memuktamadkan konsep dan skop ubah suai sebuah fasiliti sedia ada di KL Sports City, Bukit Jalil untuk dinaik taraf kepada stadium e-sukan. 

-- BERNAMA 

 

KKM SASAR LANTIK 3,000 PEGAWAI PERUBATAN SISWAZAH UNTUK 2025

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan melantik 3,000 pegawai perubatan siswazah (PPS) yang akan ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara tahun ini. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pada suku pertama 2025, pihaknya telah melantik secara kontrak sebanyak 1,114 Pegawai Perubatan Gred UD9 untuk menjalani latihan siswazah di 49 HLS. 

“Berdasarkan statistik KKM, semua graduan yang telah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada 2024 iaitu sebanyak 3,316 telah dilantik sebagai PPS dan ditempatkan di HLS di seluruh negara dan 423 PPS telah ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai jumlah doktor pelatih yang telah diserap ke dalam fasiliti kesihatan negara sepanjang 2024 serta jangkaan untuk 2025, khususnya di Hospital Klang dan statistik berkaitan jumlah doktor pelatih yang sedang menunggu penempatan setakat ini.

-- BERNAMA

 

KERAJAAN MUKTAMAD KOS PENGAMBILAN PEKERJA ASING DARI TIGA NEGARA

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan telah memuktamadkan kos pengambilan pekerja asing dari Vietnam, Kemboja dan Indonesia, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata rundingan lanjut sedang diadakan dengan negara sumber lain seperti Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka.

“Penetapan kos adalah satu komitmen bersama antara negara sumber dan negara penerima. Justeru, pemantauan kepada pihak terlibat dengan aktiviti perekrutan perlu diperkasakan, bukan sahaja di negara penerima, tetapi juga di negara sumber bagi memastikan kos pengambilan terkawal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang ingin tahu inisiatif kementerian dalam memudahkan proses dan mengurangkan kos pengambilan pekerja asing dan sama ada kementerian membenarkan pekerja asing berkemahiran bekerja di negara ini dengan jangka yang lebih lama terutama di Sarawak.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan