WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EAIC KECEWA HUKUMAN RINGAN TERHADAP SALAH LAKU PEGAWAI, ANGGOTA APMM

21/02/2025 10:31 PM

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kecewa dengan hukuman ringan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dalam insiden kapal agensi berkenaan bertambat dengan bot nelayan Vietnam di perairan Kelantan pada 7 Julai 2023.

EAIC memaklumkan pihaknya telah menerima maklum balas daripada APMM mengenai tindakan telah diambil terhadap syor EAIC pada 15 jan lepas, namun PBT APMM tidak mengikut syor hukuman yang diberikan.

“Sebaliknya telah memutuskan pegawai memerintah kapal APMM dikenakan hukuman denda tujuh hari emolumen manakala pegawai dan anggota lain didapati tidak bersalah kerana bertindak mengikut arahan pegawai memerintah sahaja,” menurut kenyataan itu hari ini.

EAIC memaklumkan amat kecewa dengan keputusan itu kerana berpendapat hukuman dikenakan  terlampau ringan dibandingkan dengan salah laku oleh pegawai memerintah, pegawai dan anggota kapal APMM tersebut yang tidak mencerminkan integriti semasa melaksanakan tugas.

Susulan salah laku itu, EAIC telah PBT APMM untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai memerintah termasuk turun pangkat atau buang kerja mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Pegawai dan anggota kapal APMM juga diambil tindakan disiplin selain daripada turun pangkat atau buang kerja di bawah Peraturan 36 P.U. (A) 395/1993.

Pegawai siasatan EAIC juga telah membuat laporan polis berhubung pengeluaran borang penggeledahan yang mengandungi butiran palsu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi meneliti aspek jenayah komersial.

Untuk rekod, siasatan terhadap APMM susulan penularan video memaparkan sebuah kapal APMM bertambat dengan bot nelayan Zon C yang dikendalikan oleh awak-awak Vietnam di perairan Kelantan pada 7 Julai 2023. 

Siasatan mendapati wujud salah laku oleh pegawai memerintah, pegawai dan anggota APMM berdasarkan fakta dan keterangan termasuk kapal APMM didapati telah menghantar laporan kedudukan, haluan dan laju (KHL) serta Laporan Situasi (LS) mengandungi maklumat tidak benar kepada Maritime Operational Command (MOC).

Selain itu, borang penggeledahan yang dikeluarkan oleh kapal APMM mengandungi butiran palsu berkaitan pemeriksaan dilakukan terhadap bot nelayan Zon C dan siasatan mendapati tiada laporan dibuat mengenai insiden melepaskan tembakan semasa pengejaran bot nelayan asing Vietnam pada 12 Julai 2023.

Hasil siasatan juga mendapati pegawai dan anggota kapal APMM telah bertambat sebanyak dua kali dengan bot nelayan Zon C serta terlibat dalam aktiviti mencandat sotong dan memancing ikan, yang menimbulkan persepsi negatif dan mencemarkan imej pasukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan