WILAYAH - SABAH > BERITA

PENUTUPAN SEPARA KECEMASAN, TUARAN DAN KOTA KINABALU ALAMI GANGGUAN AIR SELASA INI

22/02/2025 07:08 PM

KOTA KINABALU, 22 Feb (Bernama) -- Sebahagian pengguna di Kota Kinabalu dan Tuaran dinasihatkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air berikutan penutupan separa kecemasan akan dilakukan Selasa ini (25 Feb).

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata penutupan bermula 8 pagi itu perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan segera dijalankan ke atas kerosakan lapan injap angin di sepanjang jajaran paip dari Loji Rawatan Air Telibong II dan satu pam air terawat di loji berkenaan. 

"Sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air Telibong II akan beroperasi pada kapasiti terhad, menghasilkan hanya 75 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti biasa sebanyak 96 JLH, iaitu pengurangan 21 peratus dalam pengeluaran air terawat. 

"Oleh itu, pengguna di SK Nexilis, Kibing Solar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Hospital Likas, 1Borneo, Kingfisher Sulaman, Ujana Kingfisher, Kingfisher Raja Udang, Kawasan Sulaman, Indah Permai, Kawasan Sepanggar, Gayang (Tuaran), Nexus, Karambunai, politeknik dan kawasan sekitarnya, dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara bekalan air," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air itu tindakan mitigasi oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan dilaksanakan. 

"Orang ramai dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat hingga bekalan kembali pulih sepenuhnya. Pasukan teknikal yang dilantik akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan mengurangkan impak kepada pengguna. 

"Apabila kerja-kerja pembaikan ini selesai dilaksanakan, kadar kemasukan air ke tangki utama dapat ditingkatkan dan isu gangguan bekalan air di kawasan hujung sistem bekalan air seperti Gayang, UMS, Hospital Likas, Kingfisher, Menara Kinabalu, Taman Cerah dan sekitarnya juga dapat dikurangkan,” katanya.

Shahelmey juga meminta orang ramai agar mendapatkan maklumat terkini melalui pengumuman rasmi dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada talian Careline JANS atau melalui laman sesawang dan media sosial rasmi jabatan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan