WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISRAEL LARANG SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI MASJID AL-AQSA

20/03/2026 10:44 AM

BAITULMUQADDIS, 20 Mac (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa Israel melarang solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, dengan alasan sekatan keselamatan yang dikenakan susulan serangan Israel ke atas Iran.

Menurut Anadolu Ajansi, rakyat Palestin pada Jumaat menyeru umat Islam supaya berkumpul berhampiran Kota Lama untuk menunaikan solat sedekat mungkin dengan Masjid Al-Aqsa bagi menandakan berakhirnya Ramadan.

Polis Israel sebelum ini menggunakan belantan, bom denyar dan gas pemedih mata terhadap rakyat Palestin yang menunaikan solat di luar tembok Kota Lama sebagai membantah sekatan di Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.

Baitulmuqaddis Timur yang diduduki memasuki tempoh perayaan dalam suasana yang suram.

Kota Lama, yang kebiasaannya dipenuhi rakyat Palestin menjelang Hari Raya Aidilfitri, kelihatan sunyi sepi seumpama sebuah bandar hantu.

Israel menyekat akses dengan alasan larangan berhimpun manakala peniaga Palestin dihalang daripada membuka kedai mereka, dengan hanya farmasi dan kedai makanan asas dibenarkan beroperasi.

Peniaga Palestin yang enggan dikenali kerana bimbang dikenakan tindakan balas oleh Israel berkata sekatan itu menyebabkan mereka berdepan tekanan ekonomi yang teruk.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan