KUCHING, 23 Feb (Bernama) -- Anak Sarawak yang menerima tawaran pendidikan tinggi percuma oleh kerajaan negeri tidak terikat untuk berkhidmat di Sarawak apabila tamat pengajian, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata mereka sebaliknya digalakkan menimba pengalaman dengan bekerja di luar Sarawak, sebelum kembali menabur bakti di negeri kelahiran suatu hari nanti.
“Sekiranya mereka bekerja di luar sebagai tujuan untuk tingkatkan kemahiran, apa salahnya? Kemudian mereka balik semula ke sini mengambil kira kita memerlukan kepakaran serta kemahiran teknologi.
“Kalau terikat, itu maknanya biasiswa tetapi untuk inisiatif ini tujuan kita beri untuk tingkatkan kemahiran tenaga kerja… sebab itu kita fokus kepada disiplin pengajian STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta perundangan dan perakaunan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sebuah klinik pergigian di sini, hari ini.
Kerajaan Sarawak menawarkan pembiayaan pengajian tinggi secara percuma kepada anak Sarawak menjelang 2026, melibatkan lima institusi iaitu Kolej Universiti i-CATS (iCats), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Universiti Teknologi Sarawak, Curtin University Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak.
Sementara itu Abang Johari berkata Sarawak dijangka mengalami peningkatan ketara dalam sektor pelancongan kesihatan dengan pembinaan tiga hospital swasta yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
Beliau berkata hospital yang terletak di kawasan sekitar Kuching iaitu Batu Lintang, Petra Jaya dan Tabuan Jaya dilengkapi kemudahan teknologi terkini bertaraf antarabangsa serta menggunakan khidmat doktor pakar dari dalam dan luar negara.
“Dengan adanya syarikat penerbangan sendiri (AirBorneo), jadi kita boleh ada perhubungan terus dengan negara luar, terutama di Asia Tenggara, contohnya sekarang penerbangan Jakarta-Kuching sentiasa penuh.
“Apabila siap pembinaan hospital dan syarikat penerbangan, mudah untuk pergerakan doktor dan pesakit ke sini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial