KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Sejajar dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini, buat julung kalinya Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Pameran dan Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025).
EMGS dalam kenyataan hari ini berkata pameran di Grand Lagoon Ballroom, Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya pada 24 dan 25 Feb itu dijangka menarik kira-kira 5,000 pengunjung.
Pameran yang pertama kali diadakan dan terbesar di ASEAN itu akan menampilkan lebih 90 pempamer dan pelajar mobiliti dari seluruh rantau, termasuk institusi dari Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
EMGS berkata di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ forum itu direka bentuk khusus sebagai platform utama bagi pihak universiti, penggubal dasar, pakar industri dan pelajar membincangkan cabaran serantau, menjalin perkongsian strategik dan memacu pembangunan mampan dalam sektor pendidikan.
"Pameran ini akan mengetengahkan pencapaian dan inovasi daripada institusi terkemuka ASEAN, sambil memudahkan rangkaian dan perkongsian idea," menurut kenyataan itu.
Satu siri perbincangan dan pemeteraian MOU antara universiti dan pemain industri akan menekankan lagi peranan acara itu dalam memajukan integrasi serantau.
Selain itu Program Mobiliti Pelajar ASEAN yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), turut berlangsuung dari 11 hingga 25 Feb ini, melibatkan 500 pelajar mobiliti dalam aktiviti seperti Peraduan Penceramah Muda, Cabaran Projek Inovasi dan Lawatan Suai Kenal ke kampus universiti Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pertukaran akademik dan memupuk perkongsian kolaboratif dalam kalangan pemimpin pelajar, penggubal dasar dan pakar industri.
AEF2025 juga akan memperkenalkan platform ASEAN Global Exchange for Mobility & Scholarship (GEMS), hab digital sehenti yang menyediakan akses kepada biasiswa dan peluang mobiliti di seluruh ASEAN, seterusnya menggalakkan pemerkasaan belia dan ekuiti pendidikan.
Untuk maklumat lanjut, layari: https://educationmalaysia.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial