KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Seorang wanita maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan memasuki laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Semenyih-Kajang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian pada 11.15 malam itu turut mengakibatkan seorang lagi pemandu wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala dua lagi pemandu lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa kenderaan jenis Toyota Camry, Proton Saga dan Proton Persona itu sedang bergerak dari arah Beranang menghala Semenyih, apabila bertembung dengan sebuah kereta semasa melalui Jalan Semenyih-Kajang.
“Kereta Perodua Myvi dari arah Semenyih itu dikatakan telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tiga kenderaan, menyebabkan kereta itu berpusing sebelum terbabas di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata pemandu Myvi yang berumur 21 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Saga yang cedera telah dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial