WILAYAH - TIMUR > BERITA

EMPAT KAMPUNG DI TANAH MERAH DIJANGKA BANJIR HARI INI HINGGA 27 FEB

25/02/2025 01:44 PM

KOTA BHARU, 25 Feb (Bernama) -- Empat kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran lembangan Sungai Golok di Tanah Merah dijangka mengalami banjir mulai hari ini hingga Khamis (27 Feb).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan aras air sungai dan status semasa air sungai yang diramalkan naik dan melebihi paras bahaya.

"Empat kampung dijangka dilanda banjir ialah Kampung Jenob, Kampung Nibong, Kampung Renab dan Kampung Air Bujing bermula 6 petang hari ini hingga 12 tengah malam, pada 27 Feb," menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my, JPS merekodkan sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melepasi paras bahaya iaitu 9.2 meter (m) manakala Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah berada pada paras amaran iaitu 23.05 m. 

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar jajahan Kuala Krai hari ini mendapati beberapa kampung turut dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam antaranya Kampung Chenulang, Kampung Kuala Pertang dan Kampung Bedal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kuala Pertang Adnan Mat Yassin berkata beberapa laluan masuk ke kampung itu mula dinaiki air kira-kira 11 malam semalam hingga menjejaskan urusan penduduk untuk pergi bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan