WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM TAHAN 18 INDIVIDU DISYAKI SOGOK PENJAWAT AWAM BERKAIT KES E-SISA

25/02/2025 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 18 individu termasuk pemilik dan pengarah syarikat kerana disyaki merasuah penjawat awam bagi meluluskan permohonan kemasukan warga asing sebagai pemegang saham di kilang sisa elektronik di Selangor dan Johor.

Menurut sumber kesemua suspek yang terdiri daripada 13 lelaki dan lima orang wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 60-an itu ditahan antara 7 hingga 10 malam semalam, menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan SPRM.

Operasi tersebut dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membabitkan serbuan ke atas 12 premis sekitar Teluk Panglima Garang, Selangor dan Segamat, Johor.

“Siasatan awal mendapati premis-premis tersebut disyaki memproses dan melupus bahan-bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.

“Seorang suspek dipercayai membayar wang rasuah kepada penjawat awam sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kilang-kilang miliknya,” katanya.

Perintah reman selama enam hari sehingga 2 Mac ini terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2, Ayer Keroh, Melaka, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan