Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 25 Feb (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia Yusril Ihza Mahendra bagi membincangkan mekanisme pertukaran tahanan, kerjasama imigresen dan pengelolaan sempadan.
Pertemuan itu menumpukan kepada mekanisme yang efektif bagi menghantar pulang tahanan ke negara asal bagi menjalani baki hukuman mereka, walaupun Perjanjian Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) masih belum dimeterai.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif dan berkesan bagi proses pemindahan banduan dan tahanan,” kata Saifuddin dalam sidang media selepas pertemuan pada Selasa.
Menurut beliau, Malaysia kini menahan lebih 5,000 warga Indonesia, termasuk banduan yang disabit kesalahan dan tahanan reman.
Daripada 70 individu yang dijatuhi hukuman mati, 68 telah mengemukakan rayuan untuk ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup. Selain itu, kira-kira 3,000 warga Indonesia ditempatkan di depot tahanan imigresen.
“Bagi melancarkan proses ini, mereka yang melanggar peraturan imigresen akan melunaskan bayaran denda sebelum mereka dihantar pulang,” jelasnya.
Sementara itu, sekitar 300 rakyat Malaysia sedang menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan di Indonesia, kata Saifuddin.
Perbincangan turut merangkumi isu pengelolaan sempadan, khususnya pembangunan sembilan pintu masuk baharu di Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Indonesia.
“Terdapat beberapa perkara yang perlu tindakan lanjut, terutamanya berkaitan senarai semak keperluan yang akan dibincangkan di peringkat pegawai,” katanya.
Tambahnya kedua-dua negara komited untuk mempercepatkan proses ratifikasi Perjanjian Lintasan Sempadan.
Saifuddin dan delegasi seterusnya mengadakan pertemuan dengan Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia Agus Andrianto.
Topik yang dibincangkan berkaitan tenaga kerja asing, pemindahan tahanan, caj visa pelajar Malaysia dan beberapa perkara yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara.
Pertemuan itu diadakan sempena lawatan kerja tiga hari Saifuddin ke Indonesia. Beliau diiringi oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial