WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ALONSO SASAR PERMULAAN CEMERLANG DALAM DEBUT MOTO2 DI GP THAILAND

25/02/2025 06:53 PM

SEPANG, 25 Feb (Bernama) -- Penyandang juara dunia Moto3 David Alonso bersedia untuk memulakan musim debut Moto2 dengan penuh mantap di Grand Prix (GP) Thailand hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Chang.

Pelumba berusia 18 tahun itu, yang dinaikkan ke Moto2 musim ini bersama pasukan Aspar CFMOTO, bagaimanapun, mengakui dia tidak boleh menetapkan matlamat bercita-cita tinggi kerana kini bersaing dalam kelas yang berbeza sepenuhnya.

Bercakap kepada media selepas menandatangani perjanjian sebagai duta jenama RCB, pembekal alat ganti dan aksesori motosikal berprestasi tinggi terkemuka Malaysia, Alonso berkata sasaran utamanya adalah menamatkan perlumbaan tanpa kemalangan.

"Sasaran utama bagi perlumbaan pertama adalah untuk melihat bendera penamat dan belajar daripada pelumba berpengalaman. Apabila anda naik ke kategori baharu, tidak kira sama ada anda sudah mengenali litar atau tidak, ia tetap satu cabaran baharu.

"Musim pertama akan menjadi ujian besar tetapi anda tidak boleh hilang fokus. Anda perlu kekal tenang untuk terus meningkat dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan. Persiapan kami berjalan lancar; kami telah melengkapkan kira-kira 200 pusingan dalam dua ujian pramusim," kata pelumba berdarah Colombia-Sepanyol itu.

Alonso turut memaklumkan dia kini sudah pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan bahu ketika sesi latihan di Cartagena, Sepanyol, bulan lepas.

Dia merupakan antara pelumba rookie yang paling dinantikan musim ini selepas merangkul kejuaraan dunia Moto3 tahun lepas dengan rekod 14 kemenangan. Malah, debut penuhnya pada 2023 juga cukup mengagumkan dengan lapan podium, termasuk empat kemenangan, yang membantunya menamatkan musim dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

Perjanjian antara Alonso dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA, Bruce Lee Cong Quan, telah dimeterai di Litar Kart Antarabangsa Sepang.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Kumpulan MKA, Marcus Leong, berkata Alonso dipilih sebagai duta jenama kerana semangat juangnya dalam perlumbaan serta komitmennya terhadap kecemerlangan yang selari dengan nilai teras RCB.

"Kerjasama ini bukan sahaja untuk memperluaskan jenama RCB ke peringkat global tetapi juga memperkukuhkan komuniti sukan permotoran tempatan dengan menghubungkan pelumba dan peminat  yang berkongsi minat  mendalam terhadap sukan ini...lebih-lebih lagi bersempena ulang tahun ke-30 RCB,”katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan