KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) --Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), kini dikenali sebagai Olahraga Malaysia (MA), menafikan dakwaan wujudnya penyelewengan dana dalam penganjuran Malam Anugerah Olahraga Malaysia pada Januari tahun lepas.
Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tuntutan yang dikemukakan oleh seorang Ahli Majlis badan induk itu masih dalam proses semakan dan sehingga kini, tiada bayaran dibuat.
“Satu mesyuarat akan diadakan untuk meneliti isu ini dengan lebih mendalam dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ada penyelewengan seperti yang didakwa.
“Ahli Majlis Olahraga Malaysia amat kesal dan kecewa dengan tindakan seorang Ahli Majlis yang membuat tuduhan tersebut dalam laporan media baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MA, Datuk Fadzil A. Bakar, dalam laporan beberapa portal yang mendakwa wujud salah guna dana dalam badan induk itu apabila seorang Ahli Majlis dikatakan menghantar tuntutan melibatkan Malam Anugerah melalui syarikatnya, sedangkan majlis tersebut telah mendapat tajaan.
Sementara itu, Shahidan turut menafikan dakwaan mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan badan induk olahraga kebangsaan, yang perlu diadakan sebelum 30 Jun ini akan ditangguhkan ke tahun depan.
Beliau menegaskan AGM akan tetap diadakan tahun ini dengan tarikhnya akan ditetapkan dalam mesyuarat Majlis MA yang akan datang.
“Tiada sebarang keputusan (untuk menangguhkan AGM) dibuat. Sembang-sembang, saya tidak tahu. Jika ada keputusan, pastinya akan ada kenyataan rasmi daripada saya,” katanya sambil menambah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah meluluskan pindaan perlembagaan persatuan itu pada 15 Jan lepas.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada AGM berkenaan, Shahidan berkata perkara itu akan diumumkan kemudian. Bagaimanapun, beliau menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya ada calon yang lebih berkelayakan untuk memimpin MA.
Shahidan kembali sebagai Presiden MA selepas menewaskan penyandang ketika itu, Datuk SM Muthu, pada 2022. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan tersebut dari 2006 hingga 2012.
Antara pindaan perlembagaan yang dilaporkan ialah perubahan tempoh sepenggal kepimpinan daripada tiga tahun dengan maksimum tiga penggal kepada empat tahun dengan maksimum dua penggal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial