WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA DI KEDUDUKAN KE-36 DALAM "GLOBAL SOFT POWER INDEX 2025"

25/02/2025 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia kini berada pada kedudukan ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025, dengan skor 46.1 daripada 100, demikian menurut laporan oleh perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance.

 Kedudukan terkini itu mencerminkan pertumbuhan Malaysia dalam tonggak utama seperti Rakyat dan Nilai, Tadbir Urus, serta Pendidikan dan Sains sekali gus melonjakkan pengaruh negara yang semakin berkembang di pentas global.

Satu lagi pencapaian penting ialah kedudukan Malaysia meningkat ke tangga ke-12 dalam atribut Future Growth Potential, naik tujuh anak tangga berbanding tahun sebelumnya yang didorong oleh prospek ekonomi positif serta peranan dalam perniagaan dan perdagangan global yang semakin berkembang.

Malaysia turut mencatat peningkatan ketara dalam tonggak Rakyat dan Nilai, naik tujuh anak tangga ke kedudukan ke-32.

Selain itu, ranking Rakyat Mesra menyaksikan pertambahan 11 anak tangga ke kedudukan ke-25, menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap keramahan dan layanan mesra rakyat Malaysia manakala reputasi negara dalam aspek kebolehpercayaan turut meningkat pada kedudukan ke-30 pada peringkat global.

Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik Alex Haigh berkata peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan menonjolkan statusnya yang semakin berkembang sebagai negara berpengaruh pada peringkat antarabangsa.

"Kemajuan ketara negara dalam tonggak penting seperti Tadbir Urus serta Pendidikan dan Sains mencerminkan penjajaran strategik dengan perubahan ekonomi dan geopolitik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan komitmen terhadap tadbir urus yang telus, peningkatan piawaian etika dan sistem pendidikan yang semakin kukuh, Malaysia meletakkan kedudukannya sebagai hab inovasi dan pertumbuhan jangka panjang di pentas global.

Bagi tonggak tadbir urus, Malaysia berada di kedudukan ke-35, mencatat peningkatan ketara dalam atribut High Ethical Standards and Low Corruption di tangga ke-29. Peningkatan ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh amalan tadbir urus dan kepimpinan yang telus dan beretika di tengah-tengah cabaran global.

Sementara itu, sistem pendidikan Malaysia naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-30, mengukuhkan lagi usaha negara untuk mempertingkatkan infrastruktur pendidikan dan kecemerlangan akademik.

Global Soft Power Index disusun oleh Brand Finance berdasarkan maklum balas lebih 170,000 peserta dari lebih 100 negara.

Indeks itu menilai persepsi 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berdasarkan 55 metriks, menyediakan penanda aras untuk menilai pengaruh sesebuah negara melalui daya tarikan serta keyakinan dan bukannya paksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan