MELAKA, 25 Feb (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperluaskan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universiti dan agensi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata usahasama itu melibatkan antara UTeM dengan UAE Academy serta Innovation Floor Ardhiyat Al Ibdaa Information Solutions.
"MoU antara UTeM dan UAE Academy tertumpu kepada pengukuhan kerjasama strategik dalam bidang akademik serta program mobiliti pertukaran pelajar dan kakitangan antara kedua-dua institusi.
"Pada masa sama, kita juga akan membangunkan Pusat Pembelajaran UTeM di UAE Academy bagi memberikan kemudahan kepada pelajar di sana untuk melaksanakan apa-apa program kerjasama antara dua pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Massila berkata manakala dengan Innovation Floor Ardhiyat Al Ibdaa Information Solutions, kerjasama ini memberi fokus kepada bidang penyelidikan dan inovasi selari dengan perkembangan teknologi semasa dunia.
Beliau berkata, antara bidang tumpuan penyelidikan adalah kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan robotik, teknologi pembangunan, serta pembuatan bateri.
Mengulas lanjut, Massila berkata, MoU itu juga merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, yang juga merangkap Canselor UTeM, bersama universiti tersebut ke UAE baru-baru ini.
"Lawatan kerja rasmi dimulakan dengan pertemuan dengan Menteri Toleransi dan Hidup Bersama UAE Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan, bagi membuka tirai perbincangan dan pengukuhan kerjasama antara UTeM dan agensi-agensi berkaitan di negara itu.
"Inisiatif pengantarabangsaan ini adalah selari dengan Fokus 4 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UTeM sentiasa komited untuk mengambil inisiatif menjayakan agenda berimpak tinggi serta pengukuhan hubungan strategik secara berterusan di peringkat antarabangsa,” katanya
Beliau berkata dalam kunjungan tersebut, UTeM turut menjayakan sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi Ajman University.
"UTeM menyasarkan lebih daripada tujuh geran dari universiti tersebut, dan seorang kakitangan UTeM juga bakal memulakan Skim Pengantarabangsaan Teknikal UTeM di universiti berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial