BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 WILAYAH - TENGAH > BERITA

AVITAN SHALOM DIPENJARA TUJUH TAHUN MILIKI PELURU, SENJATA API

26/02/2025 06:13 PM

KAJANG, 26 Feb (Bernama) -- Lelaki warga Israel, Avitan Shalom dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki 200 peluru dan enam senjata api.

Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Avitan, 39, mengaku bersalah bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan dan mengambil kira keseriusan kesalahan memilik senjata api.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi pertuduhan utama dan tujuh tahun untuk pertuduhan pilihan. Hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024.

“Barang tertuduh iaitu pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbit milik tertuduh diserahkan kepada penjara dalam tempoh 14 hari,” katanya pada prosiding yang dijalankan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.

Sebelum ini, Mohd Zaki menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan selama 14 hari bermula 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun dan 23 hingga 26 Jun 2025, dengan prosiding diadakan di kompleks mahkamah itu.

Avitan, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata. 

Lelaki itu juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu memiliki enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA and Stoeger Cougar 8000F.

Pertuduhan pilihan itu dikemukakan bagi menggantikan pertuduhan kedua dihadapi tertuduh sebelum ini iaitu didakwa berdagang enam senjata api serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas, mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam tertuduh telah mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Feb lepas, memohon agar pertuduhan pilihan diberikan kepada anak guamnya bagi menggantikan pertuduhan kedua.

“Tertuduh mahu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pertama dan pertuduhan pilihan serta bersedia menjalani hukuman penjara maksimum tujuh tahun. 

“Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan itu, pada 20 Feb lepas, AGC telah membalas representasi tersebut dan bersetuju dengan representasi yang dimohon tertuduh,” kata Mohamad Mustaffa yang turut memaklumkan dua representasi sebelum ini telah ditolak oleh AGC.

Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan kemudian mengesahkan mengenai representasi itu.

Naran ketika mengemukakan rayuan bagi pihak anak anak guamnya memaklumkan lelaki itu yang memiliki syarikat pembekalan perubatan dan hartanah di New York mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja selain dua anak lelaki dan seorang perempuan masing-masing berumur 16, 10 dan sembilan tahun.

“Tertuduh juga bersetuju untuk menjalani hukuman penjara tujuh tahun dengan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024. Selain itu, tertuduh mohon pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbit milik tertuduh diserahkan kepada penjara,” kata peguam itu.

Mohamad Mustaffa berkata pihaknya tidak membantah hukuman penjara berjalan serentak memandangkan ia dilakukan pada masa dan tempat sama, selain memohon hukuman maksimum kerana kesalahan memiliki senjata api dan peluru adalah serius serta menjejaskan keselamatan.

“Kami juga tidak membantah permohonan tertuduh supaya pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbitnya diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Naran berkata anak guamnya yang berpuas hati dengan keputusan hari ini akan dihantar ke Penjara Kajang.

Mengikut fakta kes, pada 26 Mac 2024, kakitangan hotel, Selyvester Meromin memaklumkan kepada penyelia keselamatan S Sathiya selaku pengadu bahawa seorang lelaki yang menginap di bilik bernombor 1107 telah menyerahkan satu plastik sampah kepadanya di lobi hotel dan memintanya membuang sampah itu, 6 petang hari sama.

Pengadu telah meminta Selyvester untuk mengeluarkan barang di dalam beg plastik berwarna putih itu dan mendapati ia mengandungi sebuah iPad, dua kotak beg simpanan pistol yang mempunyai penerangan mengenai penggunaan pistol berserta dengan gambar pistol jenama ‘Glock’ dan satu lagi berjenama ‘Kuzey’.

Beg itu turut mengandungi beberapa sarung tangan serta stoking, dan kerana risau dengan keselamatan hotel, pengadu kemudian bertindak membuat laporan polis.

Pada 1.20 pagi, 27 Mac 2024, seorang pegawai polis dengan dibantu penyelia keselamatan telah mengetuk pintu bilik tertuduh beberapa kali sebelum dibuka dan pemeriksaan dilakukan termasuk oleh Unit Anjing Pengesan (K9) tidak menemukan barang mencurigakan, selain tidak melakukan pemeriksaan lanjut terhadap sebuah beg bagasi jenama Samsonite berwarna hitam yang terdapat di dalam bilik itu.

Tertuduh selepas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan sebelum dilepaskan dan tertuduh selepas itu telah membuat tambahan hari untuk duduk di bilik hotel berkenaan hingga 29 Mac 2024.

Pada 4 petang, 28 Mac 2024, seorang pegawai polis telah menerima arahan untuk membawa tertuduh menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bilik terbabit dan membawa pulang barangan peribadi milik tertuduh.

Bagaimanapun, setelah masuk di bilik tersebut, tertuduh dilihat berasa gementar dan meronta-ronta sambil meminta anggota polis supaya tidak menyentuh barangan peribadinya iaitu empat beg bagasi di dalam bilik tersebut.

Polis terbabit membuat pemeriksaan terhadap kandungan tiga beg bagasi, namun tidak menjumpai barangan salah, manakala sebuah bagasi berjenama Somsonite berwarna hitam dalam keadaan berkunci dan tertuduh enggan memberikan kerjasama untuk membuka beg tersebut.

Semasa berada di IPD Dang Wangi, seorang pegawai polis telah meminta tertuduh membuka beg bagasi itu dan terdapat satu lagi beg galas yang dalamnya mengandungi enam pucuk senjata api bersarung stoking dan empat kotak mengandungi peluru.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan