EKONOMI > BERITA

UNIT SAPURA ENERGY RAIH KONTRAK PENGGERUDIAN BERNILAI RM3.2 BILION

26/02/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Sapura Energy Bhd, Sapura Drilling Asia Ltd menerima kontrak penggerudian bernilai kira-kira RM3.2 bilion daripada pelbagai syarikat.

Sapura Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Sapura Drilling menerima dua kontrak baharu daripada PTTEP Energy Development Ltd untuk penyediaan pelantar penggerudian bantuan tender (TAD) miliknya iaitu Sapura T-17 dan Sapura T-18.

"Projek baharu di bawah kedua-dua kontrak ini akan bermula pada suku kedua 2025 bagi tahun kewangan syarikat yang berakhir 2026 dan akan menyaksikan penggerudian telaga pembangunan selama lima tahun Sapura T-17 serta Sapura T-18, dengan pilihan lanjutan tiga tahun lagi," katanya.

Sementara itu, anak syarikat milik penuhnya yang lain, Sapura Drilling Jaya Ltd dan Sapura Energies Lda pula menerima lanjutan kontrak daripada Cabinda Gulf Oil Company Ltd (CABGOC) iaitu anak syarikat milik penuh Chevron Corporation untuk penyediaan pelantar TAD mereka, Sapura Jaya.

Sapura Energy berkata skop kerja di bawah kontrak yang bermula pada November 2024 akan menyaksikan Sapura Jaya meneruskan penempatannya untuk CABGOC di Angola selama setahun lagi dan berakhir pada November 2025 dengan pilihan lanjutan selama enam bulan.

Selain itu, Sapura Drilling Asia Sdn Bhd (SDA) memperoleh kontrak baharu daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc untuk penyediaan pelantar TAD, Sapura Berani.

Kontrak tersebut akan bermula pada suku pertama tahun kewangan 2026 dan akan menyaksikan penggerudian telaga Sapura Berani selama 30 bulan.

Ia berkata SDA juga diberikan kontrak baharu daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd untuk penyediaan pelantar TAD, Sapura Esperanza.

Menurutnya, projek tersebut akan bermula pada suku pertama tahun kewangan 2026 dan akan menyaksikan Sapura Esperanza menggerudi empat telaga pembangunan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan