KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pencapaian dividen yang kukuh dan berdaya saing oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2024 membuktikan daya tahan serta komitmennya dalam memastikan masa depan persaraan ahli terjamin, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Syabas kepada KWSP! Alhamdulillah, KWSP sekali lagi berjaya mengatasi jangkaan. Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya menerusi catatan di laman media sosial Instagram beliau.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah sebanyak RM73.24 bilion.
Turut membanggakan adalah Simpanan Shariah berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024, kata Amir Hamzah.
Menurutnya, peningkatan caruman suka rela juga jelas menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak.
Menerusi pengumuman hari ini, KWSP berkata Program Outreach KWSP mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dalam jumlah pencarum sukarela sebanyak 1,193,396, naik 32 peratus daripada 902,213 pada 2023.
“Ketiga-tiga pencapaian ini, iaitu prestasi dividen, lonjakan prestasi Simpanan Shariah dan peningkatan ketara caruman sukarela, adalah petanda penting bahawa ekonomi negara semakin kukuh,” kata Amir Hamzah.
Beliau berkata, prestasi dividen KWSP yang cemerlang bukan sahaja memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar propertumbuhan Kerajaan, pelaburan dalam infrastruktur, dan langkah fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan keyakinan perniagaan serta menyokong sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan, dan teknologi.
KWSP adalah salah satu daripada enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang mengambil bahagian dalam program GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan penstrukturan ekonomi negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Di bawah program ini GLIC terbabit komited untuk melabur sebanyak RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun serta RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam.
Program GEAR-Up turut disertai oleh Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Permodalan Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial