WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN EMPAT LELAKI DISYAKI ROMPAK BERSENJATA DI JELAPANG

01/03/2025 02:28 PM

IPOH, 1 Mac (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki berumur antara 25 hingga 50 tahun kerana disyaki memecah masuk dan melakukan rompakan bersenjata di kawasan kilang yang merupakan sebuah stor penyimpanan kenderaan syarikat kurier di Jelapang di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan penyelia syarikat berkenaan mengenai insiden itu.

Beliau berkata tindakan pantas pihaknya berjaya membuat tangkapan terhadap kesemua suspek warga tempatan itu berserta barang rampasan antaranya empat unit pemotong, seunit alat pembuka main hole, segulung kabel lump, sepasang sarung tangan, seunit kunci alat kawalan jauh dan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger.

"Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 3 rekod kesalahan jenayah dan tujuh rekod kesalahan dadah sementara suspek kedua memiliki satu rekod kesalahan jenayah serta tujuh rekod kesalahan dadah. 

"Suspek ketiga pula terdapat lima rekod kesalahan jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah manakala suspek keempat dengan lima rekod kesalahan jenayah dan tujuh rekod kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Sajidan berkata permohonan reman terhadap kesemua suspek dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh selama lima hari bermula hari ini hingga 5 Mac bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan rompak dengan menggunakan senjata.

Justeru, beliau berkata pihak polis mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan