KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Penggunaan kecerdasan buatan (AI) di peringkat sekolah rendah wajar diperkenalkan secara berperingkat dengan pendekatan lebih organik, tanpa menambah beban sukatan pelajaran sedia ada.
Bendahari Persatuan Internet Kebendaan (IoT) Malaysia Pathmanathan Muniandy berkata elemen AI boleh diintegrasikan ke dalam mata pelajaran seperti Matematik dan Sains bagi membolehkan pelajar memahami konsep teknologi berkenaan secara lebih menyeluruh.
“Kita tidak perlu mewujudkan silibus baharu semata-mata untuk memperkenalkan AI. Sebaliknya, pendidikan AI boleh diterapkan dengan menekankan aspek penggunaan selamat, etika serta kebolehan dan batasan teknologi ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Pathmanathan berkata pendedahan awal terhadap AI penting bagi membina asas pengetahuan dalam kalangan pelajar supaya mereka lebih bersedia menggunakan teknologi itu dalam kehidupan dan kerjaya pada masa depan.
Beliau berkata pemantauan berkala juga perlu dilakukan bagi memastikan integrasi AI dalam sistem pendidikan kekal relevan dan tidak membawa kesan negatif kepada pelajar.
“Saya melihat sesetengah sekolah rendah sudah mula memperkenalkan chatbot seperti ChatGPT dan Copilot kepada pelajar. Namun, kita perlu memastikan teknologi ini tidak disalahgunakan hingga menyebabkan pelajar terlalu bergantung kepada AI untuk menyiapkan tugasan sekolah mereka,” katanya.
Pathmanathan berkata AI harus menjadi alat bantu pembelajaran yang menggalakkan pemikiran kritis dan inovasi, bukan sekadar mekanisme automasi yang menggantikan usaha pelajar.
Beliau menegaskan bahawa keseimbangan dalam penggunaan AI di sekolah rendah perlu dicapai melalui peranan aktif guru dan ibu bapa dalam membimbing kanak-kanak untuk menggunakan teknologi itu secara bertanggungjawab.
“Jika AI diperkenalkan terlalu awal tanpa bimbingan yang betul, ia boleh membawa kesan negatif, termasuk pembaziran masa dan kebergantungan berlebihan. Namun, jika digunakan dengan baik, AI mampu merangsang kreativiti dan inovasi sejak usia muda,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Pendidikan agar terus mengkaji keberkesanan penggunaan AI di peringkat sekolah rendah dan menyesuaikan strategi pelaksanaannya mengikut keperluan serta tahap pemahaman murid.
Dengan perkembangan pesat AI, pendekatan pendidikan yang seimbang dan terkawal dapat memastikan pelajar memperoleh manfaat maksimum tanpa menjejaskan asas pembelajaran konvensional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial