WILAYAH - TIMUR > BERITA

LETUPAN BOM DI SUNGAI GOLOK: PELBAGAI LANGKAH DIAMBIL KPM PASTIKAN KESELAMATAN MURID

09/03/2025 09:06 PM

KOTA BHARU, 9 Mac (Bernama) --  Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pelbagai langkah telah diambil bagi menjamin keselamatan murid di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom di Sungai Golok, di selatan Thailand, semalam.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara untuk memastikan keselamatan murid terutamanya bagi mereka yang melintas sempadan setiap hari. 

“Langkah awal telah diambil dengan menempatkan mereka di asrama sekolah atau rumah saudara mara yang boleh menjamin keselamatan.

"Usaha juga sedang dijalankan bagi menilai keperluan mewujudkan asrama khas untuk murid sekolah rendah yang terlibat, sejajar dengan prinsip pembangunan mampan," katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan murid yang menetap di Sungai Golok sebelah Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang, Pasir Mas, pada majlis Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan Tahun 2025 Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Fadhlina turut menasihatkan ibu bapa agar berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membolehkan anak-anak mereka ditempatkan di asrama dalam negara bagi memudahkan pemantauan dan menjamin keselamatan semasa ke sekolah.

Beliau berkata ibu bapa diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mendapatkan bantuan JPN jika diperlukan bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok.

Polis Thailand sebelum ini menyatakan berlaku letupan di sebuah pos kawalan keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok dan beberapa tembakan telah dilepaskan oleh sekumpulan penyerang, menyebabkan dua anggota keselamatan Thailand maut manakala lapan lagi cedera.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkembangan di Wilayah Narathiwat dan kawalan ketat dikuatkuasakan serta-merta hingga situasi disahkan selamat.

Susulan itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di wilayah selatan Thailand, termasuk Pattani, Yala dan Narathiwat dinasihatkan berhati-hati dan berwaspada susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku di kawasan itu.

Kementerian itu turut menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan semua lawatan yang tidak penting ke wilayah berkenaan buat masa ini.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan