WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERASAAN KIAN MENG BERCAMPUR BAUR MENJELANG AKSI PEMBUKAAN SELURUH ENGLAND

10/03/2025 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pemain beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng mengakui perasaannya bercampur baur menjelang penampilan terakhir pada siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu kejohanan Seluruh England yang akan membuka tirainya esok.

Kian Meng berkata meskipun sedih akan ‘menggantung raket’ selepas kejohanan berprestij itu, beliau dalam masa sama teruja untuk memulakan karier baharu sebagai usahawan dalam talian.

Justeru, beliau berharap mampu memberikan persembahan terbaik, sekali gus menjadi hadiah perpisahan terbaik buat pasangannya Lai Pei Jing selepas hampir sembilan tahun digandingkan bersama.

“Memang ada fikir untuk beri hadiah perpisahan terbaik (kepada Pei Jing). Jadi, ia mungkin satu motivasi untuk kami beraksi lebih baik pada perlawanan terakhir kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kian Meng ketika mengulas mengenai lawannya dari Taiwan Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hu pada pusingan pertama berkata beliau dan pasangan mempunyai kelebihan untuk memenangi perlawanan di Utilita Arena Birmingham berkenaan.

Beliau bagaimanapun tetap berwaspada dengan ancaman lawannya itu, yang mampu menyebabkan mereka tersingkir awal pada kejohanan bertaraf Super 1,000.

“Walaupun nampak kita ada kelebihan, tetapi kami akan tetap berjuang lawan mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan