WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM REMAN PENJAWAT AWAM TERIMA RASUAH DAFTARKAN PUSAT JAGAAN

10/03/2025 04:20 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu hari ini menahan reman seorang penjawat awam disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan anak yatim dan asnaf milik sebuah syarikat.

Sumber SPRM memaklumkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, selepas permohonan dibuat SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara Julai hingga September 2023. Suspek juga disyaki menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” menurut sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wakil beberapa buah pusat jagaan lain akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

 -- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan