WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPERASI PADAM KEBAKARAN LADANG KELAPA DAN HUTAN DI GEBENG DITAMATKAN

10/03/2025 10:58 PM

KUANTAN, 10 Mac (Bernama) -- Operasi memadam kebakaran ladang kelapa dan hutan seluas 176 hektar di Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular, Gebeng di sini yang bermula sejak 22 Feb lepas ditamatkan sepenuhnya hari ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Razam Taja Rahim bagaimanapun berkata pemantauan rapi di lokasi tersebut akan terus dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng selama tiga hari. 

Beliau berkata langkah pengawasan itu penting memandangkan kebakaran berlaku di tanah gambut yang kebiasaannya bara api berada dalam tanah.

“Melalui pemantauan ini, kita akan pastikan tiada lagi kesan bara (dalam tanah gambut) yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Pihak JBPM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada agensi terlibat iaitu Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran. 

“Turut tidak terkecuali Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain pihak yang telah bersama-sama dengan JBPM dalam melaksanakan operasi pemadaman. Kerjasama baik ini mencerminkan tahap kecaknaan kerajaan terhadap kelestarian hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Kebakaran yang bermula di ladang kelapa sebelum merebak ke hutan sekitarnya menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan Balok Baru berada pada kategori tidak sihat dengan bacaan 193 pada Selasa. 

Melibatkan lebih 70 anggota dan pegawai daripada 10 balai bomba dan penyelamat, kebakaran itu juga mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan penduduk sekitar Balok Baru supaya berhati-hati susulan pencemaran udara di situ. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad turut meninjau lokasi kebakaran Khamis lepas.  

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan