WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA, VIETNAM PERKUKUH HUBUNGAN MELALUI PERKONGSIAN STRATEGIK KOMPREHENSIF

10/03/2025 11:24 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 10 Mac (Bernama) -- Indonesia dan Vietnam bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik komprehensif, dengan tujuan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk politik, pertahanan, keselamatan, sains, integrasi ekonomi dan pertukaran antara rakyat.

Pada sidang media bersama pada Isnin, Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan bahawa beliau dan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$18 bilion menjelang 2028 berbanding US$16.7 bilion tahun lepas.  

“Kami berkongsi matlamat dan visi yang sama, untuk menjadi negara maju menjelang 2045,” kata Prabowo di Istana Merdeka di sini, dengan majlis itu disiarkan secara langsung oleh Sekretariat Presiden.  

Beliau turut menyatakan sokongan Indonesia terhadap peningkatan pelaburan Vietnam, terutamanya dalam sektor automotif dan pertanian, sejajar dengan usaha kedua-dua negara untuk meningkatkan keselamatan makanan dan menyumbang kepada bekalan makanan global.  

Indonesia mempunyai 123 projek pelaburan di Vietnam bernilai lebih US$680 juta, manakala pelaburan Vietnam di Indonesia semakin berkembang, termasuk kilang kereta elektrik VinFast bernilai US$1.2 bilion yang ditubuhkan pada Julai 2024. 

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang utama, termasuk perikanan, ekonomi digital, teknologi hijau serta industri teknologi tinggi yang sedang berkembang.  

Dalam bidang pertahanan dan keselamatan, kedua-dua negara komited untuk mengeratkan lagi hubungan, dengan perancangan untuk latihan ketenteraan bersama, pertukaran pegawai, program latihan yang dipertingkatkan serta rondaan bersama.  

Mengenai kerjasama serantau, Indonesia dan Vietnam mengulangi sokongan mereka terhadap Visi Komuniti ASEAN 2045, yang dijangka diumumkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Mei ini.  

“Kedua-dua negara bersetuju bahawa keamanan dan kestabilan adalah penting untuk kemakmuran serantau. Kami komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi ASEAN yang lain,” tambah Prabowo.  

Prabowo juga mendedahkan rancangan untuk mengadakan lawatan ke Vietnam, dengan beliau berharap untuk memeterai perjanjian di Hanoi bagi menyelesaikan isu berpanjangan berkaitan zon ekonomi di kedua-dua negara.  

Semasa pertemuan itu, kedua-dua negara bertukar beberapa dokumen penting, termasuk surat niat mengenai pembinaan kapasiti dalam kejuruteraan, ekonomi digital, sains dan teknologi, serta perjanjian berkaitan akuakultur dan kerjasama bank pusat.  

Lam berada di Indonesia untuk lawatan negara selama tiga hari yang bermula Ahad, bertepatan dengan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan