WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ACLE: SEDIH, TETAPI JDT AKAN TERUS BERKEMBANG - BIDOGLIO

12/03/2025 12:49 PM

ISKANDAR PUTERI, 12 Mac (Bernama) -- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio, meluahkan rasa sedihnya selepas pasukannya tewas kepada kelab Thailand, Buriram United, tetapi berjanji untuk terus bekerja keras dan meningkatkan lagi pasukan itu pada masa hadapan.

Jurulatih dari Argentina itu berkata para pemainnya telah berusaha 100 peratus dan ia jelas terlihat di atas padang semasa kekalahan 0-1 mereka kepada pasukan Thailand itu, pada saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024/2025.

“Saya sangat sedih kerana saya melihat para pemain bekerja keras setiap minggu, tetapi inilah bola sepak. Sekarang, kami perlu terus bekerja dan terus berkembang kerana JDT sebuah kelab besar. Masa depan kelab ini tidak bergantung kepada satu keputusan sahaja.

“Saya yakin dalam beberapa minggu, bulan dan tahun akan datang, JDT akan terus berkembang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Perlawanan pusingan kedua bagi pusingan 16 ACLE 2024/2025 antara JDT dan Buriram United menyaksikan kelab gergasi Malaysia itu tersingkir menerusi jaringan tunggal penyerang pelawat Suphanat Mueanta, pada minit ke-58.

Mengulas mengenai gol JDT yang dibatalkan pada minit terakhir perlawanan, Bidoglio berkata pasukannya tidak mempunyai pilihan selain menerima keputusan pengadil dari Kuwait Ahmad Alali.

“Kakitangan saya kata tiada ofsaid tetapi Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan ada. Niat kami sepanjang masa adalah untuk terus menekan dan bermain di kawasan lawan, kadang-kadang melalui hantaran sisi, kadang-kadang dengan percubaan ke gawang dan kadang-kadang menerusi hantaran lintang.

“Kami telah mencuba semua kemungkinan, tetapi inilah bola sepak. Saya sangat sedih untuk penyokong kami, sangat sedih untuk pemilik kelab (Tunku Mahkota Johor) dan juga rakan-rakan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Buriram United Osmar Loss Vieira berkata beliau sangat gembira dan berbangga dengan pencapaian pasukannya, kerana mereka bermain demi maruah diri, pasukan dan negara.

“Daripada awal perlawanan, sudah jelas bahawa kami mempunyai ruang untuk melakukan serangan balas kerana JDT tertekan untuk menjaringkan gol. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan dua atau tiga gol melalui serangan balas.

“Penting untuk kekal tenang dalam situasi seperti ini, memahami dan membaca permainan. Pemain saya menyesuaikan diri dengan lebih cepat dan melaksanakannya dengan sempurna,” kata jurulatih dari Brazil itu sambil mengucapkan tahniah kepada penyokong JDT, kerana mencipta suasana yang luar biasa di stadium.

Pemain terbaik perlawanan Suphanat Mueanta, meluahkan rasa terima kasih kepada rakan sepasukannya, kerana membantu memudahkan permainannya dalam usaha meraih kemenangan penting bagi membawa kelab ke suku akhir ACLE di Arab Saudi bulan depan.

“Jurulatih mempercayai saya dan saya juga percaya kepada jurulatih. Dia akan memberitahu saya apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki permainan saya agar pasukan dapat beraksi dengan lebih baik,” kata pemain berusia 23 tahun itu, yang turut mewakili skuad kebangsaan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan