WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK DUN AYER KUNING: BN TAPAH GUNA PENDEKATAN BERBEZA SANTUNI PENGUNDI

13/03/2025 09:15 PM

TAPAH, 13 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Tapah akan menggunakan pendekatan berbeza  dalam menyantuni pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, April ini.

Naib Pengerusi BN Tapah Datuk Seri M. Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata jentera BN Tapah akan menjalankan kempen mengikut acuan ‘tempatan’ bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih mewakili gabungan berkenaan.

“Jentera di peringkat bahagian amat memahami kehendak dan permasalahan yang berlaku di Tapah, malah pendekatan unik ini berjaya membantu BN mempunyai wakil rakyat daripada pelbagai kaum di sini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah yakin BN mampu mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning pada PRK berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan