WILAYAH - TENGAH > BERITA

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 4 MAC

04/03/2025 05:02 PM

LIMA SETIAUSAHA SYARIKAT BELUM KEMUKA MAKLUMAT PEMUNYAAN BENEFISIAL

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengenal pasti lima setiausaha syarikat dengan jumlah syarikat seliaan tertinggi yang belum mengemukakan serah simpan maklumat pemunyaan benefisial melalui Sistem Pemunyaan Benefisial Elektronik (e-BOS). 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata hingga 31 Dis lepas, 602,105 daripada 691,690 syarikat aktif dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk mengemukakan maklumat pemunyaan benefisial dengan kadar pematuhan sebanyak 87.05 peratus.

“Tindakan yang telah diambil (SSM bagi memastikan pematuhan serah simpan maklumat pemunyaan benefisial) ialah melakasanakan program outreach, kempen kesedaran, mengeluarkan kompaun atau notis ke atas syarikat yang gagal untuk menyerah simpan di e-BOS,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) mengenai kadar pematuhan serah simpan maklumat pemunyaan setakat tahun lepas dan apakah tindakan yang telah atau akan diambil SSM sekiranya ada syarikat yang tidak patuh pada serah simpan maklumat pemunyaan. 

-- BERNAMA 

 

PENIPUAN KEWANGAN: BNM TAMBAH BAIK DASAR, TEKANKAN PRINSIP TANGGUNGJAWAB BERSAMA 

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menambah baik dasar sedia ada dengan menekankan prinsip kebertanggungjawaban bersama berhubung kes penipuan dan kehilangan wang dalam akaun yang jelas melibatkan kelemahan daripada bank dan pelanggan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ini secara amnya merangkumi kes yang berpunca daripada kegagalan pihak bank untuk menyekat transaksi mencurigakan dan kecuaian pelanggan agar beban kerugian tidak ditanggung sepenuhnya oleh mangsa.

“Mangsa berhak untuk mendapat pampasan yang sewajarnya. Sebarang kes siasatan yang tidak berpihak kepada pelanggan adalah tertakluk kepada semakan bebas untuk memastikan penilaian yang objektif,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali  (BN-Pekan) berhubung usaha kerajaan melindungi hak dan kepentingan rakyat dalam isu melibatkan kehilangan wang dalam akaun dan tabungan bank berpunca daripada kelemahan sekuriti.

-- BERNAMA

 

KDN KOMITED BAWA NEGARA KE TAHAP 1 DALAM LAPORAN JNAS 

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri komited untuk membawa negara ke Tahap 1 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang. 

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan laporan tahun lepas, Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 selepas berada di Tahap 3 pada 2023, sekali gus membuktikan kerajaan serius dalam membanteras pemerdagangan dan penyeludupan orang di dalam negara. 

“Kita meningkat baik, kalau berada Tier 2 kita harus berusaha ke arah Tier 1...  Bulan April laporan ini akan dikeluarkan dan kita ada sebulan lebih untuk berusaha sebelum laporan itu dikeluarkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad  (PN-Jerlun) mengenai langkat drastik dan cabaran yang dilalui bagi kementerian dalam membanteras aktiviti sindiket penyeludupan dan pemerdagangan migran khususnya melibatkan pegawai kerajaan. 

-- BERNAMA 

 

17,208 PELAJAR DARI 74 NEGARA IKUTI PROGRAM MOBILITI DI IPT

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) --  Sebanyak 17,208 pelajar dari 74 negara telah mengikuti program mobiliti di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini manakala 10,448 pelajar Malaysia mengikuti program yang sama di 55 negara, setakat 31 Dis lepas. 

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata program mobiliti itu merangkumi pertukaran mahasiswa, lawatan akademik, pertukaran budaya, pemindahan kampus, sangkutan klinikal, latihan industri dan kursus musim panas atau sejuk. 

“Melalui program pertukaran mahasiswa, pelajar Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian di IPT luar negara untuk tempoh tertentu seperti satu semester antaranya di Jepun, Thailand, Indonesia, Vietnam, dan China,” katanya  pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu sejauh mana program pertukaran mahasiswa serta berapa lama mahasiswa Malaysia menuntut untuk satu tempoh di IPT luar negara dan sebaliknya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan