WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SYURGA COOKIES HOMEMADE, PLATFORM ASNAF DAN IBU TUNGGAL JANA PENDAPATAN

14/03/2025 10:38 AM

ALOR GAJAH, 14 Mac (Bernama) -- Memulakan perniagaan dengan niat berkongsi rezeki bersama vendor kuih raya dan pelanggan, Syurga Cookies Homemade yang diusahakan oleh Azie Izhar kini menawarkan lebih 200 jenis biskut raya dan kerepek hanya pada harga RM10 sebekas.

Azie, 39, berkata kesemua biskut raya dan kerepek dihasilkan sendiri oleh hampir 10 vendor, termasuk asnaf, ibu tunggal dan saudara terdekat itu dihasilkan setiap hari mengikut kuantiti permintaan. 

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia tiga hingga 19 tahun itu berkata Syurga Cookies Homemade yang beroperasi di Jalan Keretapi Lama, Kampung Gangsa di sini sejak 2022 itu turut mempunyai 100 ejen dari dalam dan luar Melaka, termasuk Singapura dan Brunei.

"Perniagaan Syurga Cookies Homemade ini tercetus pada 2017 secara dalam talian kerana ingin membantu asnaf dan ibu tunggal menjual kuih raya yang dihasilkan agar mereka dapat berdikari dan tidak mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak.

"Alhamdulillah pada 2022, saya dan suami, Azley Alias mengambil keputusan menggunakan sebahagian ruang di rumah mereka untuk dijadikan kedai kecil menjual semua biskut raya dan kerepek yang dihasilkan vendor kami," katanya kepada pemberita di Syurga Cookies Homemade di sini.

Azie yang turut mengusahakan perniagaan hamper dan cenderahati berkata Syurga Cookies Homemade bukan hanya beroperasi sepanjang Ramadan tetapi setiap hari dengan pelbagai jenis kuih raya moden dan tradisional.

Kuih raya yang ingin dipasarkan di kedainya juga perlu melalui saringan kualiti dan rasa bagi memastikan kuih yang dijual pada standard terbaik serta tidak mengecewakan pembeli.

"Walaupun kuih berkenaan dijual pada harga Rahmah iaiti RM10 sebekas dan kami ambil komisen pun hanya RM0.50 sebekas, saya dan suami amat mementingkan rasa dan kualiti kuih raya yang vendor ingin hantar di kedai," katanya.

Setakat ini, dia bersyukur dapat memastikan bekalan kuih raya di kedainya sentiasa ada agar tidak mengecewakan pengunjung yang kadangkala terpaksa beratur panjang untuk membeli.

"Satu kegembiraan kepada saya dan suami apabila melihat orang ramai teruja membeli sebagai persiapan hari raya terutama golongan B40 … ada juga antara mereka yang membeli untuk bersedekah kepada keluarga terdekat," katanya.

Sementara itu, seorang daripada vendor Rozaliah Abdullah, 54, dari Bertam Jaya berkata dia meletakkan biskut raya 'nestum crunchy' yang dihasilkan di Syurga Cookies Homemade sejak tahun lepas bagi menambah pendapatan, khususnya untuk membeli keperluan dan persiapan raya.

Ibu tunggal kepada enam anak cahaya mata itu berkata dia meletakkan biskut raya di kedai berkenaan hanya pada Ramadan mengikut kemampuan menghasilkannya memandangkan peralatan yang digunakan, seperti ketuhar bukan untuk kegunaan industri.

"Setakat hampir dua minggu Ramadan, saya telah menghantar hampir 50 balang kuih raya dan Alhamdulillah hasil jualan sangat membantu untuk saya membeli keperluan persiapan raya … lebih-lebih lagi saya tidak bekerja tetapi masih perlu menanggung seorang anak yang bersekolah di Tingkatan Empat," katanya.

Bagi Faszirah Zainal, 29, dari Bukit Rambai berkata dia membekalkan kuih yang dibuat bersama ibunya Jalilah Annhar, 55, seperti denderam, dan popia nestum, cheese dan coklat di kedai berkenaan sejak 2017 bagi menambah pendapatan untuk membeli keperluan raya.

"Saya membantu emak menjual kuih-muih di pasar malam dan buat kuih raya sebagai sampingan untuk menambah pendapatan tambahan. Alhamdulillah syukur kerana ada tempat untuk letakkan kuih raya yang dibuat dan setakat ini lebih 100 balang telah dijual," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan