KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tidak menafikan mahupun mengesahkan laporan bahawa ia sedang membuat penilaian untuk menjual aset minyak syal di Argentina namun memaklumkan sentiasa mengkaji semula portfolio perniagaan di semua negara yang ia mempunyai pelaburan.
“Petronas mengkaji portfolio perniagaan secara berterusan di semua negara ia mempunyai pelaburan bagi memastikan kesesuaian terbaik dengan strategi pertumbuhan dalam landskap tenaga yang semakin berkembang,” kata syarikat minyak dan gas negara itu bagi menjawab pertanyaan Bernama mengenai laporan berita Bloomberg.
Bloomberg melaporkan bahawa Petronas Malaysia sedang menilai untuk menjual aset minyak syal di Argentina, langkah yang akan melengkapkan tindakannya untuk keluar dari ladang Vaca Muerta yang berkembang pesat di negara itu berikutan sebilangan jurugerudi antarabangsa turut berhasrat untuk keluar daripada rantau itu.
Laporan yang memetik sumber itu menjelaskan Petronas telah memulakan proses yang mungkin menyebabkan penjualan pegangan 50 peratusnya dalam La Amarga Chica, usaha sama dengan syarikat milik kerajaan, YPF SA di kawasan pengeluaran minyak utama Vaca Muerta.
Penglibatan Petronas dalam La Amarga Chica bermula sejak 2014.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial