WILAYAH - UTARA > BERITA

MPM BAKAL NAIK TARAF SISTEM DENGAN AI, JANA TRANSKRIP SEGERA SEMASA PROSIDING

14/03/2025 08:41 PM

GEORGE TOWN, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan penaiktarafan sistem dan perkakasan perekodan digital dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata sistem berkenaan berupaya menjana transkrip segera semasa prosiding kes bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan menyelaraskan kefahaman komunikasi bagi semua pihak berkepentingan yang terlibat.

“Ia bertujuan memaparkan transkrip segera pada skrin bagi memastikan proses penyampaian keadilan disampaikan dengan lebih efektif dan langkah ini akan meningkatkan nilai ketelusan dalam perbicaraan kes sekali gus meningkatkan keadilan dan keyakinan terhadap MPM.

“Teknologi AI ini akan digunakan di semua MPM di seluruh negara dengan fasa awal adalah di Pulau Pinang dan melibatkan anggaran kos hampir RM5 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan KESUMA Pulau Pinang di Pengkalan Weld, di sini hari ini.

Bangunan lima tingkat itu siap dibina pada 31 Jan lepas dan menempatkan petugas Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Pulau Pinang serta Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Sim berkata dengan sistem baharu itu, data kes boleh didapati dalam tempoh tiga hari berbanding 30 hari sebelum ini manakala yuran untuk mengakses rekod mahkamah juga telah dikurangkan kepada RM15.

Sementara itu, beliau berkata selain penaiktarafan sistem, sebuah lagi mahkamah akan ditempatkan di kompleks bangunan berkenaan bagi mengendalikan kes-kes Jemaah Rayuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata ketika ini, kompleks bangunan berkenaan mempunyai dua mahkamah yang digunakan untuk perbicaraan bagi kes-kes Mahkamah Perusahaan manakala kes-kes Jemaah Rayuan PERKESO dilakukan di Pejabat PERKESO sahaja dan tidak mempunyai penetapan susun atur mahkamah.

“Sebelum ini, kes-kes seperti ini akan dibicarakan di Kuala Lumpur. Selepas ini, kes-kes bagi penuntut di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang boleh dibicarakan di sini sekali gus dapat mengurangkan beban penuntut yang terpaksa ke Kuala Lumpur untuk pendengaran kes mereka,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, Sim berkata satu pasukan petugas KESUMA telah ditubuhkan bagi menyemak 28 perundangan di bawah kementerian berkenaan termasuk Akta Perhubungan Perusahaan.

Beliau berkata ia sebagai usaha memperkemas sistem keadilan perburuhan negara memandangkan kebanyakan undang-undang berkaitan sudah lapuk dan wujud sejak sebelum merdeka lagi.

“Pasukan Task Force (pasukan petugas) akan mengharmonikan, mengemas kini dan memperbaharu undang-undang ini untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan bagi membaiki sistem MPM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan