KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Malaysia kekal komited untuk memperkukuh peranan ASEAN dalam hal ehwal global, memperdalam perkongsian strategik dan memperkukuh kerjasama serantau di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ulasannya bertajuk "The Global South’s Path to Economic Resilience" yang diterbitkan di laman sesawang Project Syndicate hari ini, Anwar berkata kemerosotan multilateralisme serta peningkatan ketidakpercayaan dalam hubungan antarabangsa tidak seharusnya diterima sebagai kebiasaan baharu.
Sebaliknya, beliau menggesa tindakan kolektif bagi mempertahankan keamanan dan memastikan orde antarabangsa yang stabil.
"Bagi negara seperti Malaysia dan anggota ASEAN yang lain, kemerosotan kerjasama pelbagai hala serta peningkatan rasa sangsi mewakili satu kenormalan baharu yang berbahaya.
Tetapi keadaan ini bukanlah sesuatu yang 'normal'. Untuk mengemudi dalam tempoh yang tidak menentu ini, kita mesti kekal teguh dalam matlamat kita dan bertindak dengan penuh keyakinan," tulisnya.
Anwar menegaskan bahawa ASEAN, blok yang merangkumi hampir 690 juta penduduk, perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk dasar global dan tidak sekadar menerima keputusan yang dibuat oleh pihak lain.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan berusaha menggiatkan semula platform dialog serantau termasuk ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur, yang menyediakan ruang neutral serta konstruktif bagi perbincangan strategik dan keselamatan dalam kalangan kuasa besar.
"Malaysia akan terus mempromosikan pendekatan yang inklusif dan mampan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan, baik dalam rantau kita mahupun di peringkat global. Kita mesti memastikan suara ASEAN bukan sahaja didengar tetapi dihormati di pentas antarabangsa," katanya.
Anwar turut merujuk kepada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai contoh transformasi, dengan menekankan kemajuan rantau itu dalam tadbir urus, pertahanan, keupayaan teknologi serta kemajuan sosial, termasuk pemerkasaan wanita.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN bukan sekadar memerhati perubahan ini tetapi turut terlibat secara aktif.
"Pada Mei ini, Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang bertujuan mengukuhkan hubungan antara dua kumpulan serantau yang dinamik ini," kata Anwar yang telah menulis untuk Project Syndicate sejak 2019.
Project Syndicate ialah sebuah organisasi media antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang menerbit dan menyebarkan ulasan serta analisis mengenai pelbagai isu global oleh pemikir, pembuat dasar dan aktivis sivil terkemuka dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial