KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan berlangsung pada 10 pagi esok dengan 70 calon bakal berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
Proses pemilihan yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor bersempena dengan Kongres Kebangsaan ke-18 parti itu akan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, diikuti ucapan dasar Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook seterusnya pemilihan CEC.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim sebelum ini berkata sebanyak 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan berkenaan.
Antara nama utama bagi perebutan kerusi CEC itu ialah Loke, Guan Eng, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Nga Kor Ming, Chow Kon Yeow, Sim dan Chong Chieng Jen.
Pemilihan kali ini juga mengetengahkan 15 calon wanita bagi merebut sembilan kerusi yang dikhaskan untuk mereka antaranya Hannah Yeoh, Teresa Kok, Teo Nie Ching, Yeo Bee Yin, Young Syefura Othman, Lim Hui Ying, Vivian Wong, Wong Shu Qi dan Alice Lau.
Mereka yang terpilih dalam CEC itu akan menerajui barisan kepimpinan DAP bagi penggal 2025 hingga 2028, yang kemudiannya turut akan memilih kepimpinan tertinggi termasuk Setiausaha Agung baharu.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir ke kongres berkenaan.
Selain itu, DAP turut menjemput beberapa pemimpin utama PH ke kongres terbabit termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pemilihan kali ini juga akan diselia dan dipantau oleh pihak ketiga berkecuali, iaitu sebuah firma audit antarabangsa untuk memastikan proses demokrasi itu berlangsung dengan bersih, adil dan telus.
CEC DAP ialah badan pembuat keputusan tertinggi yang mengetuai parti itu berfungsi menetapkan hala tuju dan membuat dasar-dasar, menguatkuasakan perlembagaan parti dan mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu berdasarkan perlembagaan itu.
CEC terdiri daripada 30 ahli yang dipilih secara demokrasi oleh perwakilan cawangan semasa Kongres Kebangsaan Parti, yang kemudiannya diberi kuasa untuk memilih 10 ahli tambahan. Ahli-ahli CEC yang dipilih itu akan menentukan pemilihan jawatan dalam kalangan mereka yang diketuai oleh jawatan Setiausaha Agung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial