WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KESEMUA CALON DISENARAI PENDEK BN PUNYAI KEKUATAN TERSENDIRI - MOHAMAD HASAN

15/03/2025 03:54 PM

SEREMBAN, 15 Mac ( Bernama) -- Enam nama termasuk calon muda yang disenarai pendek untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bulan depan mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kepimpinan tertinggi parti sedang meneliti, menyelidik serta mengambil kira pandangan orang ramai mengenai enam nama itu sebelum memutuskan calon yang bakal dipilih dalam usaha BN dan UMNO mempertahankan kerusi berkenaan.

"Kita sedia maklum bahawa kali ini, calon terpilih akan diumumkan lebih awal, seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu sekitar 5 atau 6 April supaya dapat menyesuaikan diri dan menyantuni seramai mungkin pengundi," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan dan Bantuan di Dewan Komuniti, Taman Kelab Tuanku, Mambau di sini hari ini.

Sebanyak 2,000 warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim dari DUN Rantau menerima sumbangan berkenaan pada majlis itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan