WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK TEBATAN BANJIR BERNILAI RM7.9 JUTA DI LABUAN SIAP OGOS INI

15/03/2025 03:53 PM

LABUAN, 15 Mac (Bernama) -- Masalah banjir berpanjangan di Kampung Gersik dan sekitarnya termasuk pusat bandar, dijangka berakhir selepas projek tebatan banjir bernilai RM7.9 juta di Sungai Gersik siap pada Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustapa berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat dengan memastikan infrastruktur penting tersedia bagi melindungi masyarakat daripada kesan buruk akibat banjir.

“Kerajaan terus komited dalam menangani cabaran berkaitan banjir terutamanya di kawasan pesisir seperti Labuan, dengan perubahan pasang surut memberi kesan besar terhadap paras air,” katanya kepada Bernama selepas taklimat projek berkenaan di tapak Sungai Gersik di sini hari ini.

Beliau berkata projek berkenaan amat penting kerana dapat membantu mengawal kemasukan air laut semasa air pasang sekali gus mengelakkan kejadian banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk serta perniagaan di kawasan berkenaan.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan daya tahan Labuan terhadap banjir … kami mahu memastikan komuniti dilindungi dan perniagaan dapat beroperasi tanpa gangguan berterusan akibat banjir,” katanya.

Dr Zaliha berkata projek berkenaan juga menjelaskan pendirian proaktif kerajaan dalam mengurangkan bencana berkaitan perubahan iklim, memperkukuh infrastruktur Labuan agar mampu menahan cabaran dalam sekitar, sambil memastikan pembangunan bandar yang mampan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan