SUNGAI BULOH, 16 Mac (Bernama) -- Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena Aidilfitri menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi pelbagai barangan keperluan dapur dan kelengkapan raya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata program selama dua hari yang bermula semalam di Dewan MPKS Saujana Utama di sini menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam, daging, makanan sejuk beku serta barangan kering pada harga yang cukup rendah.
Beliau berkata program itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai, khususnya penduduk sekitar Sungai Buloh, mendapat barangan keperluan asas bagi persiapan Aidilfitri pada harga lebih rendah, sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Ramanan berkata sebagai tambahan kepada penjimatan 20 peratus yang disediakan menerusi insentif kerajaan, beliau turut menyumbang insentif harga sebanyak 30 peratus semasa berlangsung jualan 'Happy Hour', menjadikan kadar diskaun yang ditawarkan menjangkau sehingga 50 peratus berbanding harga pasaran.
"Kebiasaan program jualan MADANI ini 20 peratus ditanggung oleh SKM, tetapi untuk warga Sungai Buloh, saya tambah lagi insentif 30 peratus. Jadi pembeli kini dapat menikmati 50 peratus diskaun semasa jualan 'Happy Hour'," katanya selepas merasmikan JMKU di sini, hari ini.
Beliau berkata program jualan ini akan diteruskan dengan penganjuran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dan DUN Kota Damansara minggu hadapan, bagi memastikan lebih ramai penduduk Sungai Buloh menikmati diskaun hebat yang ditawarkan.
"Ia bukan dianjurkan di sini sahaja, tetapi di seluruh Malaysia, namun di lokasi lain mereka hanya mendapat 20 peratus diskaun yang diberikan oleh SKM," katanya.
Sementara itu Pengerusi Komuniti MADANI Saujana Utama, Zulmaidi Mat berkata inisiatif ini memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya golongan B40 dan M40, yang dapat menikmati barangan pada harga lebih rendah.
Seorang pembeli yang hanya dikenalii sebagai Hamdiah, 56, berkata ini kali pertama beliau menghadiri program jualan tersebut dan mengakui bahawa harga barangan yang ditawarkan di sini adalah jauh lebih murah, sekali gus membantu meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Banyak perbezaan dibandingkan dengan pasar biasa. Harga di sini lebih rendah, malah kualiti barangan seperti daging dan sayur semuanya segar," katanya.
Sementara itu seorang usahawan perniagaan kerepek Nur Nabiha Zamri, 24, berkata beliau menyertai program ini selepas mendapat jemputan daripada SKM.
"Saya menjual pelbagai jenis kerepek seperti kerepek pisang dan ubi keledek. Program ini membantu saya menjana pendapatan, pada masa yang sama menjimatkan kos kerana tiada bayaran sewa dikenakan," katanya.
Beliau berkata produknya dijual pada harga lebih murah di program ini, contohnya harga kerepek yang biasanya dijual RM14 sebungkus, kini dijual pada harga RM10 semasa program ini, dan harganya terus turun kepada RM7 semasa 'Happy Hour' yang menarik lebih ramai pengunjung ke gerainya.
Sementara itu Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika berucap pada program itu berkata bahawa PAS kelihatan terdesak dan tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat Selangor apabila seorang ADUN PAS menggesa penduduk berasal dari Kelantan, Terengganu dan Kedah yang bermastautin di Selangor untuk mendaftar sebagai pengundi di Selangor.
Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap ADUN Paya Jaras, Ab Halim Tamuri dalam sebuah sesi dialog yang meminta agar penduduk Selangor yang berasal dari negeri-negeri yang ditadbir PAS mendaftar sebagai pengundi di Selangor bagi pilihan raya umum akan datang.
Ramanan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, selain menunjukkan bahawa PAS telah kehilangan sokongan di Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial